Polis korban masa bersama keluarga

Iklan
Anggota Polis giat memeriksa surat yang dikeluarkan majikan ketika tinjauan berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari ketujuh hari ini. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap cekal biarpun terpaksa berhadapan dengan cuaca panas serta hujan malah mengorbankan masa bersama keluarga demi tanggungjawab yang diamanahkan bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan dipatuhi masyarakat.

Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Inspektor Mohamed Farid Khairuddin berkata, beliau bekerja mengikut syif dalam tempoh enam jam sehari sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu.

Iklan
Iklan

"Kita mohon masyarakat bekerjasama dan memahami pengorbanan kami. Duduk di rumah, biar kami menjalankan tugas,” katanya kepada media ketika ditemui selepas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim meninjau pematuhan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di Balai Sri Murni di sini hari ini.

Mohamed Farid berkata, keluarganya memahami tugas dan tanggungjawabnya.

Iklan

"Masa bersama keluarga juga terhad. Saya perlu bekerja demi negara,” katanya.

Beliau turut mengambil langkah-langkah yang telah disarankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum pulang ke rumah.

Iklan

"Saya perlu membersihkan badan di pejabat sebelum pulang ke rumah. Uniform pula saya masukkan dalam plastik, kemudian dicuci secara berasingan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Balai Polis Jinjang, Inspektor Mohd Hafiz Abdul Rahman berkata, beliau hanya mampu melepaskan kerinduan dengan anak perempuannya berusia empat tahun hanya melalui panggilan video kerana dirinya sibuk menjalankan tugas.

"Saya tidak sempat meluangkan masa bersama isteri dan anak kerana perlu bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Pergi dan balik kerja anak saya sudah tidur,” katanya.

Mohd Hafiz berkata, pada awalnya, pihaknya berhadapan dengan masalah kerana masyarakat tidak faham perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Kita terpaksa membuat hebahan untuk memperjelaskan situasi yang dihadapi oleh negara kepada mereka,” katanya.