Perintah Kawalan Pergerakan jejas nasib petani - PKR

Iklan
Sim Tze Tzin

SHAH ALAM - Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa terdapat kes terpencil pembuangan hasil pertanian di Johor Bahru dan Cameron Highlands ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Strateginya, Sim Tze Sin berkata, beberapa insiden pembuangan hasil pertanian di Cameron Highlands dan negeri Johor telah berlaku.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, walaupun ia adalah kes terpencil tetapi ia membuktikan bahawa nasib petani sangat terjejas dengan pelaksanaan perintah ini.

"Pembaziran hasil pertanian tidak harus berlaku kerana puluhan ribu golongan berpendapatan rendah menghadapi masalah kekurangan makanan seperti dilaporkan media dan media sosial," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Tze Sin berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan drastik untuk mengatasi kerugian yang dihadapi oleh petani dan mengelakkan pembaziran.

"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan perlu menggerakkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk melakukan 'guaranteed buy back scheme' untuk membeli sebarang hasil lebihan semasa PKP untuk mengurangkan kerugian para petani.

Iklan

Menurutnya, lebihan hasil pertanian boleh disalurkan kepada golongan yang berpendapatan rendah pada harga berpatutan.

"Ini sebenarnya peranan FAMA selama ini. Pada saat krisis, peranan tersebut harus diperluaskan dan dipercepatkan," katanya lagi.

Beliau turut mendakwa bahawa Perintah Kawalan Pergerakan juga menjejaskan rantaian pertanian apabila ramai pemandu lori menghadapi masalah permit merentasi negeri dan mengeksport.

"Ramai petani menghadapi masalah mendapatkan input pertanian seperti benih, baja, racun serangga kerana kedai diperintah tutup. Ini akan menjejaskan musim penanaman yang baru.

"Petani juga menghadapi kekurangan kotak dan bahan pembungkusan pertanian kerana kilang diperintah tutup. Apabila kekurangan kotak, hasil pertanian tidak dapat dihantar ke pasaran," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MoA) harus mengkaji seluruh rantaian pertanian, memudahcarakan rantaian supaya musim penanaman tidak terjejas dan hasil pertanian boleh dipasarkan.

Secara kesimpulannya, katanya, sektor pertanian tidak harus terjejas dengan arahan PKP kerana kerajaan harus memastikan sekuriti makanan (food security) terjaga.

Sehubungan itu, kerajaan harus memastikan produktiviti dan penghantaran berterusan untuk semua jenis hasil pertanian.

"Peranan MoA amat penting dalam memastikan petani terus menanam dan menghadapi kerugian yang minima.

"Ini kerana tanpa petani, tiada makanan. Rakyat Malaysia memerlukan makanan berkhasiat untuk menang dalam peperangan Covid-19," katanya.