MODEL dan Ratu Cantik Malaysia 2009/2010, Thanuja Ananthan, menyarankan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu harus dimanfaatkan dengan aktiviti berfaedah.
Personaliti berusia 35 tahun itu berkata, berada di kediaman masing-masing selama 14 hari bukanlah tempoh yang singkat dan pelbagai perkara boleh dilakukan baik secara solo mahupun bersama keluarga.
"Memang tidak dinafikan, dua minggu berada di rumah dan tidak boleh ke mana-mana boleh menyebabkan kita stres, apatah lagi bagi mereka yang biasa bekerja
"Sehubungan itu, saya secara peribadi lazimnya melakukan sesuatu bermanfaat seperti membaca koleksi buku falsafah dan melakukan senaman mempertahankan diri,” kata aktivis alam sekitar itu kepada Sinar Harian hari ini.
Thanuja meminati koleksi buku falsafah kerana menyifatkan genre tersebut menyuntik inspirasi terbaik dalam kehidupannya.
Berkongsi mengenai rutin hariannya sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, beliau memberitahu, jadualnya bermula seawal jam 8 pagi.
"Saya akan melakukan senaman regangan otot untuk memanaskan badan, kemudian disusuli yoga.
"Selepas itu, saya akan memulakan latihan Muay Thai dan bertinju bersendirian,” jelasnya lanjut.
Selain meningkatkan tahap kesihatan dengan melakukan aktiviti Muay Thai, Thanuja turut aktif berlatih seni mempertahankan diri, bertinju bersendirian atau shadow boxing.
Dalam masa sama, Thanuja turut aktif berkomunikasi bersama sahabat dan para pengikut menerusi laman sosial peribadi beliau.
"Sebagai individu yang sering menjadi perhatian masyarakat, saya perlu melakukan sesuatu positif. Dalam situasi wabak koronavirus (Covid-19) misalnya, saya gemar memuat naik perkongsian yang membina di Instagram.
"Masing-masing perlu positif. Usah lemah dan perlu sentiasa bersemangat dalam apa jua keadaan,” tuturnya.