UK arah perintah berkurung tiga minggu

Iklan
Johnson ketika mengumumkan tentang langkah itu menerusi stesen TV semalam. - Foto Agensi

LONDON - United Kingdom (UK) semalam mengarahkan perintah berkurung selama tiga minggu untuk membendung penularan koronavirus (Covid-19) di negara yang mempunyai populasi kira-kira 66 juta penduduk itu.

"Duduk di rumah," kata Perdana Menteri, Boris Johnson menerusi ucapan disiarkan stesen televisyen ketika beliau mengumumkan langkah tersebut selepas kematian di negara itu kini meningkat kepada 335 orang dan 6,650 kes jangkitan direkodkan.

Iklan
Iklan

Pengumuman itu dibuat selepas saranan kerajaan supaya mengurangkan hubungan sosial untuk meminimumkan penyebaran kontak rapat tidak dihiraukan masyarakat.

Akhir minggu lalu, orang ramai didakwa masih keluar beriadah di taman awam sekali gus tidak mengendahkan ancaman wabak itu yang semakin meningkat.

Iklan

"Bermula petang ini (Isnin), saya beri rakyat UK arahan yang sangat mudah. Saya menggesa anda tidak keluar rumah pada masa kecemasan ketika ini. Sekatan itu akan sentiasa dipantau dari masa ke masa.

"Kita akan melihat situasi itu sekali lagi dalam tempoh tiga minggu dan akan melonggarkan perintah berkurung itu jika terdapat perkembangan positif," tegasnya.

Iklan

Di bawah langkah baharu itu, rakyat negara itu masih dibenarkan untuk membeli barang keperluan asas, ubat-ubatan dan melakukan perjalanan ke tempat kerja masing-masing.

Kerajaan mengarahkan penutupan kedai menjual barangan elektronik dan pakaian serta kemudahan awam seperti perpustakaan, rumah ibadat dan larangan itu turut dikenakan terhadap sebarang penganjuran majlis perkahwinan.

Taman awam bagaimanapun akan terus dibuka, namun Johnson memberi amaran supaya penduduk di negara itu terus mematuhi peraturan atau berdepan denda jika gagal berbuat demikian.

Pada 5 Mac lalu, UK merekodkan kematian pertama Covid-19, namun kerajaan berdepan kritikan banyak pihak kerana menggunakan pendekatan sambil lewa untuk membendung pandemik tersebut berbanding langkah yang diambil negara lain. - Agensi