Separuh perjalanan kawalan pergerakan

Iklan
Anggota Polis giat menjalankan sekatan jalanraya ketika tinjauan berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). -Foto Bernama

SEMALAM 24 Mac 2020, genap seminggu rakyat Malaysia menjalani kehidupan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan kerana wabak Covid-19.

Ini bermakna kita sudah berada dalam separuh perjalanan daripada keseluruhan 14 hari tempoh mengawal pergerakan.

Iklan
Iklan

Walaupun sukar, memandangkan perintah itu bakal memberi kesan besar kepada ekonomi dan sosial masyarakat, namun ia tidak dapat dielakkan bagi membolehkan kita melakukan jarak sosial untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

China telah melaksanakan jarak sosial lebih awal menerusi lockdown, namun Malaysia memilih kawalan pergerakan seperti mana Korea Selatan dan Singapura yang telah berjaya membendung penularan virus.

Iklan

Di Malaysia, walaupun permulaan meniti hari Perintah Kawalan Pergerakan dilihat hura-hara, gara-gara pembelian panik serta warga kota kalut mahu pulang ke kampung, namun hari-hari seterusnya lebih ramai yang makin mengerti.

Apatah lagi hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu juga menyaksikan muka depan akhbar utama di Malaysia disajikan dengan berita sedih dua kematian terawal Covid-19.

Iklan

Namun, ternyata bahaya Covid-19 dan berita kematian pesakit di Malaysia tidak menimbulkan gerun di hati semua orang.

Tatkala, di tengah-tengah bandar suasana lebih lengang, namun di kawasan pinggir kota dan kampung masih ada yang mengambil mudah sehingga tanpa segan silu membuat video kemeriahan menikmati kenduri kepala kambing.

Ini menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan kini bukan sahaja melibatkan operasi anggota polis, bahkan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan anggota tentera.

Ternyata, Covid-19 meragut banyak hak asasi manusia yang telah dinikmati penuh bebas sebelum ini. Bebas untuk bercakap, bebas untuk bergerak, bebas untuk makan di mana-mana dan bebas untuk berniaga.

Namun, sekiranya kita tidak mengorbankan sedikit kebebasan dan hak asasi itu, kita bakal menempah bahaya di jurang yang jauh lebih dalam.

Tahniah kepada rakyat Malaysia untuk separuh perjalanan ini, semoga kita kuat dan tabah untuk menghabiskan garis penamat Perintah Kawalan Pergerakan ini.