IBARATNYA kalau orang pergi berperang kena lengkap dengan senjata dan perisai. Begitulah juga perumpamaan kita pada musim kawalan pergerakan angkara Covid-19 ini.
Hendak keluar rumah tidak boleh sebarangan. Sanitizer dan topeng muka umpama perisai bagi kita yang mungkin kena keluar bekerja, keluar membeli barangan dapur waima bagi kebanyakan frontliners dan anggota beruniform yang bertugas.
Ketika sanitizer masih boleh dibeli di farmasi dalam kuantiti yang terhad seorang satu botol, masalah yang paling getir sekarang ini ialah topeng muka.
Salah satu perisai utama untuk berjuang melawan Covid-19 ini sudah kehabisan di pasaran.
Merak Jalanan adalah antara orang yang melalui detik sukar ini sendiri.
Apatah lagi hari-hari terakhir sebelum Perintah Kawalan Pergerakan, Merak Jalanan masih seharian terperangkap dengan tugasan di pejabat.
Malah topeng muka terakhir Merak Jalanan pada 18 Mac lalu juga disediakan pihak majikan.
Pada 19 Mac lalu, misi mencari topeng muka bermula dari beberapa buah farmasi di Ampang sehingga membawa ke Bukit Jalil. Jawapannya sama, hampa.
Dengan pembelian online mengambil masa sehingga lebih seminggu, misi mencari topeng muka tidak dapat diteruskan dengan cara moden itu.
Hanya keesokannya, seorang rakan yang merupakan seorang doktor menghubungi Merak Jalanan untuk mengambil 10 keping topeng muka bersama sarung tangan di kliniknya yang terletak di Rawang.
Rawang pun Rawanglah! Ya, Merak Jalanan meredah hampir 80 kilometer perjalanan ulang alik dari Ampang ke Rawang demi 10 keping topeng muka yang umpama perisai melawan Covid-19.
Persoalannya, bagaimana dengan nasib rakyat Malaysia lain? Merak Jalanan pasti ramai yang lain berkongsi masalah sama, di mana mahu mencari topeng muka?