PANDEMIK Covid-19 yang setakat ini meragut lebih 17,000 nyawa di seluruh dunia bukan sahaja melumpuhkan ekonomi global malah turut merencatkan kehidupan normal orang ramai.
Di Malaysia sendiri, kerajaan terpaksa mengambil langkah sukar untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.
Langkah kawalan sejak 18 Mac lalu turut mengubah naratif gaya hidup beli-belah masyarakat Malaysia. Tidak perlu lagi menunggu kempen harga runtuh 11.11, semakin ramai mula beralih membuat urus niaga baik makanan, barang dapur dan pelbagai barangan keperluan lain menerusi jual beli di hujung jari.
Platform beli-belah dalam talian Shopee mendapati peningkatan beli-belah berlaku di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak dan juga kawasan pedalaman sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.
Menurut Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, selepas seminggu Shopee mendapati berlaku peningkatan beli-belah secara dalam talian untuk keperluan harian seperti susu tepung, Milo, lampin, tisu tandas, bijirin, pasta, beras dan banyak lagi.
"Kami juga telah melihat aktiviti membeli-belah yang rancak sejak permulaan Perintah Kawalan Pergerakan.
"Untuk tujuan ini, kami telah mengadakan kempen khas iaitu beli-belah dengan Selamat dari Rumah mulai sekarang hingga 4 April ini.
"Pada 27 Mac dan 4 April, tawaran diskaun hingga 80 peratus akan diadakan.
"Kami turut melancarkan kategori baharu di mana kami menjual barangan segar dan menghantarnya ke pintu rumah,” katanya.
Beliau menambah, pihak Shopee bekerjasama rapat dengan pelanggan untuk meminimakan sebarang kesulitan ketika berbelanja di Shopee pada ketika ini.
Menurutnya, antara item paling laris dalam talian ketika ini ialah produk kebersihan seperti diseinfektan, sanitizer dan topeng muka.
"Dengan syarikat-syarikat China kembali meneruskan perniagaan dan peningkatan bekalan topeng muka pada platform ini, kami melihat harga topeng muka telah menurun.
"Berikutan itu, kami mempunyai penjual di platform kami yang menawarkan sekotak topeng muka pembedahan tiga lapis (berisi 50 keping) pada harga antara RM60 dan RM85, di bawah harga siling runcit yang dikawal selia iaitu RM100,” katanya.
Selain pembelian atas talian, permintaan tinggi juga dapat disaksikan dalam perkhidmatan penghantaran makanan seperti yang ditawarkan platform seperti Grab yang turut mengendalikan penghantaran makanan.
Menurut jurucakap Grab, pihaknya mengambil langkah menyokong perniagaan dan memastikan rakyat Malaysia mampu mendapat akses kepada sekecil-kecil keperluan menerusi platformnya terutama ketika waktu sukar ini.
"Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, jelas terdapat penurunan untuk pengangkutan namun terdapat peningkatan untuk penghantaran makanan dan barangan.
"Oleh itu kami mengambil puluhan ribu pemandu sebagai rakan penghantaran bagi membantu mengekalkan sumber pendapatan dan pada masa sama, membantu restoran dan peniaga mengekalkan perniagaan,” katanya.
Menurutnya, Grab juga mengembangkan perkhidmatan Mart ke lebih banyak bandar di seluruh negara seperti Johor Bahru, Melaka, Kota Kinabalu, Kuching dan Ipoh selain memperkenalkan ‘Pasar’, yang merupakan kesinambungan GrabMart di mana barangan segar seperti daging, ayam dan makanan laut dihantar kepada isi rumah.
"Kami bermula di pasar Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dan berharap dapat mengembangkan kepada lebih banyak pasar dalam masa terdekat.
"Selain itu, Grab juga menyediakan bantuan kewangan RM1,000 kepada pekerja yang dijangkiti Covid-19 ketika bekerja dan RM300 jika pemandu dikuarantin sekiranya terdedah ketika memandu atau penghantaran,” katanya.
Bagi Foodpanda pula, ia terus setia memenuhi permintaan pelanggan meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata, buat masa ini Foodpanda mengalami pertumbuhan yang baik tahun demi tahun.
"Di saat pelbagai sektor terpaksa memberhentikan para pekerja akibat tidak mampu menampung kos operasi, Foodpanda mempunyai penghantar makanan yang mencukupi.
"Namun untuk memenuhi keperluan semasa, kami mengalu-alukan sesiapa yang mungkin memerlukan peluang pekerjaan sementara untuk menghubungi kami menerusi laman web pengambilan rider,” katanya.