LEGENDA Manchester United, Rio Ferdinand sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang bakal menimbulkan kemarahan penyokong Liverpool.
Bekas pertahanan tengah United itu mahu Liga Perdana Inggeris dibatalkan susulan wabak koronavirus (Covid-19) yang semakin membimbangkan di England.
Sekiranya EPL dibatalkan, pasukan yang paling terjejas adalah Liverpool yang hanya memerlukan dua kemenangan sahaja lagi untuk muncul juara liga tersebut sekali gus menamatkan penantian selama 30 tahun kelab itu.
"Saya fikit EPL harus dibatalkan. Tidak perlu memikirkannya lagi. Saya tahu akan ramai penyokong Liverpool melihat kenyataan saya ini sebagai sesuatu yang menjengkelkan kerana saya bekas pemain United.
"Tetapi, kesihatan tiada kompromi. Jika dilaksanakan perlawanan secara tertutup sekali pun, tetap ada pemain yang boleh dijangkiti," katanya.
Wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini menyaksikan hampir semua liga di dunia terpaksa ditangguhkan termasuk EPL yang dijangka disambung semula pada 30 April ini.
Semua pasukan dalam saingan liga itu juga bersetuju untuk menghabiskan baki saingan liga yang dijangka tamat pada Jun atau Julai sekiranya liga disambung pada 30 April.
Namun, melihatkan situasi semasa wabak pandemik itu, ramai pihak menjangkakan sasaran tarikh tersebut sukar untuk dicapai dan saranan membatalkan liga kembali disuarakan beberapa pasukan.
Menurut Ferdinand, melanjutkan liga sehingga satu tempoh yang lama juga bukan satu perkara yang bagus apatah lagi ia melibatkan dana dan wang penajaan selain jika diteruskan akan memberikan kesan kesihatan kepada pemain.
"Sebab itu langkah terbaik adalah membatalkan liga dan memulakannya semua tahun depan.
"Kita tidak mahu wabak ini pula menular kembali kepada pemain. Mungkin ada pemain yang belum betul-betul sihat ketika liga bersambung dan akan berjangkit kepada pemain lain. Perkara ini tidak boleh berlaku di atas padang," katanya.