Pesara tentera keluar kata kesat pada polis direman

Iklan
Suspek (tengah) dikawal polis menuju ke lokap Mahkamah Kota Bharu bagi mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya hari ini.
KOTA BHARU - Seorang bekas anggota tentera direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis yang menjalankan sekatan jalan raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jalan Salor di sini semalam.

Perintah tahanan reman terhadap suspek yang berusia 38 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Noriza Mustafa.

Reman berkuatkuasa hari ini sehingga 27 Mac ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan reman terbabit.

Katanya, suspek ditahan di rumahnya di Jalan Baru Kampung Degong, Lubok Stol, Pasir Mas pada jam 6 petang semalam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi PKP yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Perintah ini berkuatkuasa daripada 18 Mac sehingga 31 Mac 2020. Saya meminta masyarakat mematuhinya dan berada di rumah selain memberikan kerjasama kepada polis yang menjalankan tugas.

"Usaha ini serius bertujuan memutuskan rantaian Covid-19 dan mereka yang melanggarnya boleh dihukum,” katanya.