KUANTAN - Sebanyak 10 tan sayur pelbagai jenis disediakan secara percuma kepada penduduk Kuantan yang berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sumbangan daripada 52 pengusaha pasar borong itu diagihkan di Pasar Borong Kuantan bermula jam 6 hingga 8 pagi manakala selebihnya diedarkan ke kawasan perumahan kos rendah dan Flat Pak Mahat.
Wakil pengusaha pasar borong, Mr Heng, 42, berkata, agihan sebanyak 5,000 bungkus pelbagai sayuran yang sudah diasingkan itu mengurangkan pergerakan dalam kalangan warga Kuantan untuk mendapatkan bekalan harian mereka.
"Sayur itu boleh bertahan selama seminggu. Pelbagai sayur termasuk tomato, kubis, sawi, lobak merah, kangkung dan kailan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pasar Borong Kuantan hari ini.
Menurutnya, bekalan sayur itu diperoleh daripada pekebun Cameron Hinglands dan pekebun tempatan.
Sementara itu, penduduk, Alias Mohd Isa, 42, memberitahu dia tidak melepaskan peluang mendapatkan bekalan sayuran percuma itu yang dapat membantunya untuk terus berada di rumah.
"Kalau beli di pasar atau kedai, kosnya boleh mencecah lebih RM15 hingga RM20. Tapi kali ini saya dapat percuma, bersyukur sangat kerana mampu meringankan beban semua yang terkesan akibat Covid-19," katanya.
Sementara itu, warga emas, Esah Abu Lah, 70, bersyukur sumbangan berkenaan dapat mengurangkan perbelanjaan harian dalam keadaan PKP ini
"Aktiviti amal ini patut diteruskan dan menjadi contoh kepada pihak lain dalam membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah.
"Lebih membanggakan, penerima sumbangan bukan hanya kepada kaum tertentu tetapi diagihkan tanpa mengenali perbezaan agama dan kepercayaan," katanya.