ALOR SETAR - Seorang lelaki mengaku bersalah atas tuduhan merakam dan memuat naik sebuah video mempertikaikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui WhatsApp di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Mohd Naim Md Isa, 49, membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 12.30 tengah hari pada 19 Mac hingga jam 2 petang pada 20 Mac lalu melalui aplikasi WhatsApp di telefon miliknya.
Dia didakwa dengan sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik iaitu 'kuarantin kepala bapak' sebanyak dua kali di dalam video berdurasi 57 saat dengan niat untuk menganiayai orang lain.
Junaidah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dan sebutan semula kes berkenaan ditetapkan pada 11 Mei depan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, suspek dituduh mengikut Seksyen 233 ( 1 ) ( a ) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ( Akta 588 ] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 ( 3 ) akta yang sama.
Beliau berkata, pertuduhan yang bersesuaian untuk seorang lagi tertuduh masih dikaji.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan perakam video kenduri kepala kambing berusia 49 tahun ditahan reman selama empat hari bermula 21 hingga 24 Mac untuk membantu siasatan berhubung video tular memaparkan tindakan seorang individu merakam video mempertikai PKP di Langgar di sini.
Pemilik rumah lokasi kenduri berusia 60 tahun yang turut ditahan dibebaskan dengan jaminan polis.
Berdasarkan siasatan, majlis kenduri yang tular itu diadakan kira-kira jam 12 tengah hari pada hari pertama pelaksanaan PKP 18 Mac lalu.
Majlis dianjurkan seorang individu dikenali sebagai Ayah Tahir di sebuah kampung di Langgar dihadiri antara 25 hingga 30 kenalan berusia antara lingkungan 20 tahun hingga 60-an.
ARTIKEL BERKAITAN Perakam video, tuan rumah pertikai Perintah Kawalan Pergerakan ditahan polis