BAGAN SERAI - Kenyataan kerajaan PH tidak akan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) hari ini sebenarnya satu pendirian 'u turn' kerana bimbang dengan kebangkitan orang Melayu secara besar-besaran.
Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, keputusan 'u turn' kerajaan PH itu turut membuktikan tekanan diberikan orang Melayu dalam perhimpunan membantah ratifikasi tersebut berkesan.
Menurutnya, kerajaan PH sudah menjangkakan kebangkitan orang Melayu dan umat Islam akan berlaku pada skala lebih besar dalam Himpunan Membantah ICERD di Kuala Lumpur pada 8 Disember ini sekiranya kenyataan sebegini tidak dikeluarkan lebih awal.
"Namun, saya berpendapat himpunan itu perlu diteruskan dan disertai semua orang Melayu, Bumiputera dan Islam tanpa mengira fahaman politik di seluruh negara bagi memberi tekanan berterusan kepada kerajaan PH.
"Tekanan dan amaran berterusan itu penting bagi memastikan mereka tidak lagi cuba menyentuh dan mempertikaikan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan agama Islam di negara ini," katanya selepas mengetuai lebih 50 ahli Umno bahagian Bagan Serai dan Pas kawasan itu membuat laporan polis ke atas Menteri Perpaduan, P Waytha Moorthy di Ibu pejabat Polis Daerah(IPD) Kerian hari ini.
Turut hadir Ketua Dewan Muslimat Pas kawasan Bagan Serai, Rohaya Bakar.
Sham berkata, di sebalik kejayaan penyatuan umat melayu dan Islam dalam memberi tekanan kepada kerajaan PH, pihaknya berharap penyatuan itu dapat diteruskan agar kaum Melayu dan Bumiputera tidak akan terus hilang segala-galanya di bumi sendiri.
Menurutnya, kekalahan BN pada PRU14 dilihat ada hikmahnya kerana hari ini Umno dan Pas berjaya disatukan untuk membela nasib orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
"Bila kerajaan BN kalah, saya lihat orang Melayu kini kembali berfikir untuk bersatu sesama mereka dengan melupakan persengketaan politik sejak berpuluh tahun lalu.
"Penyatuan orang Melayu dan umat Islam adalah satu agenda penting perlu dijayakan semua pihak tanpa mengira fahaman politik dan semua pihak perlu membuang ego masing-masing untuk kembali bersama-sama," katanya.