Covid-19: Penangguhan sukan Olimpik 2020 peluang baiki kelemahan

Iklan
Azizulhasni ketika meraih gangsa dalam acara pecut 200 meter (m) individu di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di The Velodrom, Berlin, Jerman. - Foto AFP

JAGUH berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang, melihat penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai satu peluang terbaik untuk dirinya, memperbaiki kelemahan yang ada.

Juara dunia keirin 2017 itu yang lebih mesra dengan panggilan ‘Jijoe’ dalam kalangan rakan sepasukan menegaskan perkara itu, kerana beliau sudah mempunyai ‘resipi rahsia’ untuk mencapai kejayaan, pada temasya sukan terbesar dunia itu nanti.

Iklan
Iklan

"Buat masa ini, saya dan jurulatih (John Beasley) serta pasukan akan merangka pelan perancangan baru, untuk persiapan Sukan Olimpik pada tahun hadapan.

"Yang pasti adalah, latihan kami akan tetap diteruskan seperti biasa, dan tiada istilah ‘berbulan madu’ walaupun kita semua dalam perintah berkurung sekarang,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi Whatsapp.

Iklan

Anak jati Dungun, Terengganu ini yang kini berada di Melbourne, Australia mendedahkan, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Beasley berhubung program latihan di rumah, bagi memastikan dirinya kekal cergas sebelum menghadapi Sukan Olimpik 2020 pada tahun depan.

"Saya di rumah buat kerja rumah bersama anak-anak saya, memandangkan sekolah (di Melbourne) ditutup. Dalam waktu sama, saya masih berlatih di rumah jugak. ‘Bodyweight workout’ dan juga menggunakan ‘kettlebells’ untuk mengantikan latihan di gim, dan saya menggunakan ‘wattbike’ utk latihan kayuhan dan simulasi kayuhan di velodrom,” jelasnya yang menjadi sandaran utama Malaysia memburu pingat emas sulung pada Sukan Olimpik 2020.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Sukan Olimpik Tokyo 2020 ditangguh

Mohd Azizulhasni berkata, beliau terpaksa menghadkan aktiviti senaman di rumah ketika ini, memandangkan kerajaan Australia mengarahkan penutupan semua kompleks sukan dan beberapa pusat membeli belah, bagi mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 pada Selasa, mengambil keputusan untuk menangguhkan Sukan Olimpik 2020 dan Sukan Paralimpik 2020.

Keputusan itu dipersetujui menerusi sidang video yang diadakan di antara Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, dan Presiden IOC Thomas Bach, susulan penularan pandemik Covid-19 yang mencatat lebih 375,000 kes di seluruh dunia, iaitu hampir di setiap negara.

Ia merupakan penangguhan pertama Sukan Olimpik dalam sejarah 124 tahun penganjurannya, tetapi ia pernah dibatalkan semasa meletusnya Perang Dunia pada tahun 1916, 1940 dan 1944.

Sukan Olimpik 2020 dijadualkan berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos, manakala Sukan Paralimpik 2020 bakal bermula 25 Ogos hingga 6 September ini.-Bernama