PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa sehingga kini lebih 95 peratus rakyat Malaysia mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.
Beliau melalui Perutusan Khas Perdana Menteri berkata, ramai yang telah mematuhi nasihat duduk diam-diam di rumah dan kepatuhan itu juga boleh dilihat melalui jalan raya lengang, pusat membeli-belah ditutup dan pusat rekreasi awam juga lengang.
Katanya, walaupun berlaku pelanggaran perintah tersebut, namun ia hanya melibatkan insiden kecil.
"Apa pun, yang paling utama ialah kesedaran kita sendiri. Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara-saudari sekalian yang rata-ratanya mempunyai kesedaran yang tinggi tentang kepentingan untuk duduk di rumah atau 'stay at home',” katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.
Beliau berkata, sepanjang tempoh berkenaan, pihak berkuasa terutama polis dan tentera telah dikerah untuk mengambil tindakan tegas bagi mengawal keadaan supaya perintah berkenaan mencapai hasil yang dihasratkan iaitu membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Beliau berkata, bukan mudah untuk menyuruh semua orang berada di rumah untuk satu tempoh masa yang agak lama kerana gaya hidup tersebut berubah sekelip mata, namun beliau percaya, setiap orang mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan.
"Saya hendak menyebut di awal-awal ini bahawa keadaan berkemungkinan menjadi lebih sukar. Covid-19 sejenis wabak yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini.
"Tidak pernah kita jangkakan bahawa kehidupan kita akan berubah dengan sekelip mata hanya kerana sejenis wabak yang menular bukan sahaja di tempat kita tetapi di seluruh dunia.
"Kadar jangkitannya begitu cepat. Hari ini seramai 422,829 orang telah dijangkiti wabak ini di seluruh dunia dengan 18,907 kematian,” katanya.
Jelasnya, di Malaysia daripada kes pertama jangkitan Covid-19 dikesan sehigga jam 12 tengah hari ini, jumlah kes positif telah meningkat kepada 1,796 kes, iaitu penambahan 172 kes baharu pada hari ini.
Menurutnya, berdasarkan taklimat pihak Majlis Keselamatan Negara, peningkatan kes-kes positif Covid-19 dijangka meningkat lebih tinggi sekiranya kerajaan tidak melakukan apa-apa.
"Jumlahnya mungkin meningkat berkali-kali ganda lagi seperti yang berlaku di beberapa buah negara lain.
"Daripada satu segi, perintah kawalan pergerakan yang kita ambil telah sedikit sebanyak berjaya mengawal penularan wabak ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, semua pihak tidak boleh berpuas hati dengan langkah-langkah yang diambil pada masa ini sehingga negara berjaya mencatat sifar kes baharu.
"Pada masa ini, kes-kes baharu masih dicatatkan walaupun dalam tempoh beberapa hari yang lalu jumlahnya agak mendatar," katanya.
Melalui jangkaan kes-kes baharu yang akan terus dicatatkan dalam masa terdekat, beliau berkata, Kementerian Kesihatan telah melakukan persiapan termasuklah menyediakan 3,585 katil di 34 buah hospital di seluruh negara untuk menerima pesakit-pesakit Covid-19.
Menurutnya, buat masa ini, 34 peratus daripada kapasiti katil hospital telah digunakan dengan baki sebanyak 66 peratus lagi yang masih boleh menampung pesakit.
"Jika berlaku pertambahan jumlah kes positif Covid-19 melebihi kapasiti yang ada di hospital, beberapa tempat telah dikenal pasti untuk dijadikan pusat pengasingan dan kuarantin sementara,” katanya.
Tambahnya, usaha-usaha akan terus dilaksanakan bagi mencegah penularan Covid-19 sehinggalah negara benar-benar dapat membendung wabak ini dengan cara memutuskan rantaian jangkitan sepenuhnya.
Sehubungan itu katanya, pergerakan orang ramai perlu terus dikawal dengan strategi untuk mencari, menyaring, mengasing dan merawat pesakit Covid-19.
"Kementerian Kesihatan akan meningkatkan kapasiti untuk melakukan ujian saringan pada skala yang lebih besar. Ini termasuk melakukan ‘mass testing’ khususnya di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi.
"Dengan kata lain, kita ingin mencegah jangkitan. Strategi ini akan berjaya sekiranya orang ramai tidak terdedah kepada jangkitan virus ini menerusi pergaulan harian,” katanya.