ALOR SETAR - Pematuhan terhadap penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) di daerah Kota Setar dan Pokok Sena masih lagi berada pada tahap yang rendah.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, susulan itu pihaknya bersama beberapa agensi penguatkuasaan yang lain sedang berusaha meningkatkan kesedaran dan disiplin orang ramai ketika ini.
Katanya, beliau berharap usaha itu akan membantu mencapai kadar pematuhan 100 peratus sebelum berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
"Tumpuan kita ketika ini di kawasan orang ramai kerana dalam taklimat yang disampaikan oleh pegawai daerah kita mendapati ada juga pasar pasar yang masih sesak.
"Malah mereka juga tidak mematuhi disiplin yang ditetapkan ketika ini. Masih lagi keluar seperti biasa, keluar (dan ambil) masa yang lama, tak ada 'social distancing' seperti yang kita uar-uarkan sebelum ini," katanya kepada media ketika pemantauan di pasar tani, pasar raya dan bank sekitar kawasan Pokok Sena di sini hari ini.
Menurutnya, pihak polis bersama pasukan tentera dan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut memberi fokus kepada peniaga, peruncit dan pekerja-pekerja warung bagi mematuhi undang undang PBT yang telah ditetapkan kepada kumpulan tersebut.
"Setakat ini hanya terdapat satu kes yang direkodkan di daerah Kota Setar yang disiasat di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit iaitu mengenai kes kenduri kari kepala kambing yang sebelum ini tular di media sosial.
Sementara itu, pemantauan yang dijalankan hari ini mendapati orang ramai masih lagi keluar membeli keperluan harian seperti biasa malah keadaan di pasar juga agak sesak.
Isnin lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam satu kenyataan menyatakan bahawa tahap kepatuhan rakyat negeri itu terhadap perlaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berada pada tahap 87 peratus.
Walau bagaimanapun, beliau menjangkakan peratus berkenaan akan meningkat sekiranya rakyat di negeri ini mematuhi undang-undang yang telah dikuatkuasakan selain sentiasa duduk di rumah.