RM75 juta bantu rakyat Pulau Pinang terjejas

Iklan
Kon Yeow

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengumumkan 16 pakej bantuan rakyat melibatkan perbelanjaan sebanyak RM75 juta kepada mereka yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pakej bantuan berkenaan menggariskan tiga objektif utama termasuk memberikan bantuan segera kepada golongan yang paling terjejas seperti penjaja, peniaga kecil, pemandu teksi, penarik beca, pemandu e-hailing, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berpendapatan rendah (B40).

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri juga mahu mengupayakan golongan pekerja untuk berdiri semula dan meneruskan usaha menjaga diri, keluarga serta membangunkan negeri melalui produktiviti.

Selain itu, katanya pakej bantuan itu membolehkan kelangsungan perniagaan di negeri ini bagi memastikan ekonomi akan terus dibangunkan pada pasca tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Iklan

"Wabak koronavirus (Covid-19) telah membantutkan sektor pelancongan serta perkhidmatan negeri ini secara tidak langsung menjejaskan pendapatan para peniaga dan penjaja secara drastik.

"Demi meringankan beban mereka, kerajaan negeri akan memberikan bantuan tunai secara 'one-off' berjumlah RM500 kepada semua peniaga kecil serta penjaja berlesen yang berdaftar dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Iklan

"Bantuan ini juga bakal merangkumi peniaga pasar malam, pasar tani dan kendara saji (food truck)," katanya pada sidang media yang dilakukan menerusi FB Live di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, turut diberi perhatian seramai 1,367 pemandu pelancong Pulau Pinang yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang akan mendapat bantuan RM500.

Selain itu, tambahnya bantuan tunai RM500 turut diberikan kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang merupakan golongan paling terkesan dalam suasana ekonomi yang mencabar ketika ini.

"Bantuan tunai one-off ini diberikan kepada kepada semua penerima bantuan bulanan JKM termasuk golongan OKU dan penerima program Agenda Ekonomi Saksama (AES).

"Pembayaran akan dibuat terus ke dalam akaun mereka pada bulan April 2020," katanya.

Kon Yeow berkata, tidak dilupakan kepada golongan pemandu teksi dan beca yang akan menerima RM500 termasuk wang insentif tahunan kerajaan negeri yang berbaki RM300 sebelum ini.

Malah turut diberi bantuan kepada 10,000 pemandu e-hailing di negeri ini yang bakal menerima bantuan RM300 setiap seorang.

"Dalam pakej bantuan ini, kerajaan negeri juga akan memberikan pengecualian sewa bulanan selama dua bulan kepada penghuni-penghuni di 4,860 unit rumah sewa kerajaan negeri dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kelolaan kerajaan negeri di Pulau Pinang.

"Ini bermakna, para penghuni skim perumahan tersebut tidak perlu membayar sewa bulan April dan Mei 2020," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow turut mengumumkan bantuan tunai kepada pesakit dan waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia.

Katanya, kerajaan negeri merasai kesusahan dan bersimpati dengan keluarga pesakit terutamanya mereka yang meninggal dunia akibat virus tersebut.

Justeru, sebagai tanda takziah, kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan tunai 'one-off' sebanyak RM500 kepada pesakit yang disahkan positif Covid-19 dan bantuan tunai RM1,000 kepada waris pesakit yang meninggal dunia di Pulau Pinang.