Kerajaan perlu ambil kira golongan 'kais pagi makan pagi'

Iklan
Salahuddin Ayub

SHAH ALAM - Kerajaan diminta mengambil kira kepentingan rakyat yang mengharapkan gaji harian sebagai sumber pendapatan susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, golongan yang diumpamakan beliau sebagai 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' itu termasuk mereka yang berada dalam bidang pertanian seperti petani, nelayan, penternak serta peniaga kecil.

Iklan
Iklan

"Adakah kerajaan mempunyai pangkalan data yang lengkap dengan senarai mereka yang benar-benar fakir dan miskin serta mereka yang mengharapkan gaji harian tanpa simpanan?

"Saya sangat bimbang golongan ini akan menghadapi ancaman kebuluran jika tidak ditangani secara tuntas," katanya sebagai mengulas lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, walaupun belum sampai 31 Mac iaitu fasa pertama PKP dilaksanakan, beliau sebagai Ahli Parlimen Pulai mendengar banyak aduan daripada orang ramai yang bersandarkan gaji harian sebagai sumber pendapatan.

"Sebagai wakil rakyat, saya telah membantu dengan sebaik mungkin termasuk menggunakan baki bantuan yang ada untuk memberikan bekalan makanan kepada mereka yang sangat memerlukan semasa PKP.

Iklan

"Apabila tempoh PKP dilanjutkan, menjadi persoalan utama iaitu faktor bekalan logistik untuk mengatasi keperluan makanan kepada golongan berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, Salahuddin berharap perkara itu diteliti oleh Perdana Menteri dan mengharapkan satu pelan operasi khas yang jelas dapat dilaksanakan bagi membantu golongan yang paling berisiko itu.