KUALA LUMPUR - Bekalan ayam daging yang telah diproses di ibu negara masih mencukupi meskipun berlaku kenaikan harga yang dijual oleh peruncit.
Tinjauan di Pasar Chow Kit mendapati ayam dijual seperti biasa dan diakui tidak berlaku kekurangan bekalan namun peningkatan harga dikenal pasti berlaku sejak beberapa hari lalu.
Rata-rata peniaga menetapkan harga RM8.50 sekilogram ayam hasil bekalan yang diperolehi dengan harga RM7.40 daripada pemborong.
Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan (KPDNHEP WPKL) yang turut membuat pemantauan mengakui berlaku peningkatan harga ayam yang dijual dipercayai disebabkan harga bekalan yang diperolehi peniaga juga telah dinaikkan.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Low Swee Hon, berkata, pemantauan dibuat rentetan aduan kekurangan bekalan ikan dan ayam serta kenaikan harga yang diadu pengguna kebelakang ini.
Bagaimanapun menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bekalan ikan berada dalam keadaan terkawal dan tidak berlaku kekurangan bekalan seperti yang dihebohkan.
"Daripada pemeriksaan ikan kembung, bekalan tiada masalah. cuma yang dijual adalah ikan sejuk beku dan ada juga ikan segar. Ikan sejuk beku dijual dengan harga RM11 hingga RM12 sekilogram. Ada yang dijual RM15 sekilogram tetapi itu ikan segar dan tempatan.
"Untuk ikan tiada peningkatan harga yang ketara sejak minggu lepas malah ada penurunan harga pada hujung minggu penurunan sebanyak RM1.
"Begitu juga dengan bekalan ayam kita dapati tiada berlakunya kekurangan bekalan kerana peniaga masih mudah mendapatkan bekalan seperti biasa namun kenaikan harga dari RM8 minggu lalu berlaku disebabkan kenaikan harga dari pemborong," katanya kepada pemberita selepas Pemeriksaan dan Tinjauan Harga Barang-Barang Basah di Pasar Chow Kit, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan susulan akan dilakukan terhadap pemborong bagi mengenal pasti berhubung kenaikan harga bekalan ayam oleh peruncit.
"Jika ada unsur pengambilan keuntungan berlebihan, kita akan keluarkan notis bawah Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 untuk mendapat penjelasan kenapa berlaku kenaikan harga," katanya.
Ditanya sama ada wujud unsur kesepakatan harga ditetapkan pihak berkaitan, beliau bagaimanapun berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia.
"Sukar untuk pastikan sekiranya terdapat unsur pakatan harga. Namun pemeriksaan yang dibuat semua peniaga meletakkan harga sama kecuali satu gerai menjual dengan harga RM8 sekilogram kerana menjual ayam yang diproses sendiri," katanya.