SHAH ALAM - Melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini bukanlah satu keputusan mudah yang diambil kerajaan.
Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan yang pastinya membebankan rakyat itu terpaksa dilakukan dengan mengambil kira fakta kesihatan, sains dan epidemiologi sebagai langkah meratakan lengkung jangkitan koronavirus (Covid-19).
"Malaysia sedang berperang dengan musuh yang tidak dapat dilihat dan mendorong banyak negara lain melaksanakan perintah berkurung atau peraturan lebih ketat.
"Masa untuk berperang memerlukan pengorbanan yang luar biasa. Sekiranya penyebaran jangkitan tidak dibendung, kita mungkin tidak mempunyai peralatan kesihatan yang mencukupi seperti ventilator dan katil di unit rawatan rapi untuk merawat pesakit," katanya menerusi Twitter beliau hari ini.
Khairy berkata, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 Mac lalu dan dijadualkan berakhir pada 31 Mac ini tidak dilanjutkan, pengorbanan rakyat selama dua minggu lalu hanya akan menjadi sia-sia.
Sementara itu, merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengenai pakej rangsangan yang lebih komprehensif bakal diumumkan, Khairy memberi jaminan bahawa kerajaan akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu rakyat dalam tempoh kesulitan ekonomi ketika ini.
Katanya, selain itu Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menubuhkan 10 makmal diagnostik tambahan di institusi pengajian tinggi dan hospital universiti.
"Makmal mudah alih juga akan diwujudkan di kawasan hotspot," katanya.