"MENDAKAP bumbung bermandi hujan, dibakar terik panas mentari, tak kira siang ataupun malam, kutaburkan bakti...”
Demikian antara bait lirik lagu Ibarat Lilin yang menggambarkan pengorbanan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jika tahun-tahun sebelum ini kita disajikan dengan sambutan dan ucapan khas sempena sambutan tersebut namun kali ini tidak lagi.
Negara sedang bergelut dugaan dan anggota polis bertugas di luar sana.
Hati Merak Jalanan jadi sakit bila membaca satu artikel berita baru-baru ini melaporkan kira-kira 10 peratus rakyat masih ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sepuluh peratus itu mewakili tiga juta daripada keseluruhan rakyat! Di mana rasa tanggungjawab dan common sense mereka ini?
Kerajaan, pihak berkuasa, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan petugas-petugas kesihatan bekerja tanpa henti siang dan malam untuk mengekang supaya virus Covid-19 berhenti merebak tetapi kumpulan tiga juta orang ini buat apa?
Berhentilah jadi manusia yang pentingkan diri, berhenti jadi orang tidak bijak dan jadilah rakyat dan komuniti yang lebih bertanggungjawab.
Bagaimana kita hendak menangani masalah ini jika sikap warganya tidak endah untuk membendung Covid-19?
Walaupun tiada sambutan besar-besaran, ia tidak menghalang kita menyatakan penghargaan dan rasa terima kasih kepada wira kita ini.
Gunakan ruang media sosial anda untuk luahkan rasa penghargaan buat mereka.
Biarpun mereka tidak meminta disanjung atau dipuja namun mereka tetap wira negara sampai bila-bila.
Selamat Hari Polis ke-213 daripada Merak Jalanan buat semua warga PDRM, semoga ALLAH SWT rahmati dan menjaga kalian. Warga ATM juga tak dilupa.