KELMARIN, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan penangguhan pembayaran balik pinjaman sedia ada untuk selama enam bulan.
Lanjutan tempoh tersebut diputuskan berikutan trend positif baharu dijangka berterusan dan akan berkuat kuasa bermula 1 April 2020.
Menerusi pengumuman itu, pelanggan bank, termasuk pelanggan persendirian dan perniagaan kecil dan sederhana, dibenarkan menangguh pembayaran balik pinjaman untuk enam bulan.
Penangguhan tersebut bersifat automatik dan terpakai kepada semua hutang termasuk pinjaman perumahan dan kereta.
Namun, hutang kad kredit tidak termasuk dalam penangguhan, kata Bank Negara Malaysia (BNM) menurut dokumen yang diserahkan kepada bank-bank di Malaysia.
Menurut BNM, usaha tersebut untuk memastikan peminjam yang terkesan susulan penularan koronavirus (Covid-19) akan dapat dibantu.
Kelonggaran itu sedikit sebanyak melegakan banyak pihak terutama rakyat daripada golongan pertengahan dan ke bawah.
Rakyat khususnya dapat manfaat secara terus daripada polisi kerajaan yang meletakkan kepentingan rakyat diutamakan.
Jika isu Covid-19 dikawal dan seterusnya dapat diselesaikan segera, ekonomi negara akan pulih walaupun ia mengambil masa dan itu berlaku sekiranya rakyat berupaya bertahan dalam keadaan sekarang.
Walaupun pelaksanaan penangguhan itu akan memberi kesan kepada pihak bank tetapi ia bukanlah bersifat hakiki, hanya sementara.
Semalam pula, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac ini dilanjutkan kepada 14 April.
Katanya, lanjutan tempoh tersebut diputuskan berikutan trend positif baharu dijangka berterusan.
Ketika ini, trend semasa menunjukkan kes positif Covid-19 yang baharu masih berlaku dan dijangka terus menular sebelum kes mula menurun.
Walaupun Malaysia berdepan ancaman wabak itu, kelihatan Perdana Menteri bijak dan tenang mengatur langkah menghadapi krisis ini.
Jadi apa pula tugas rakyat? Jika keluarga atau kenalan anda mempunyai simptom Covid-19, jangan berlengah, segera ke hospital membuat saringan.