Jeritan selamatkan suami isteri jadi korban kebakaran

Iklan
Anggota bomba memadamkan api di bahagian depan sebuah rumah Program Perumahan Rakyat (PPRT) di Kampung Bumiputra Dalam, Rengit, Batu Pahat awal pagi ini.

BATU PAHAT - Jeritan seorang isteri meminta tolong abangnya menerusi tingkap bilik selepas terperangkap dalam kebakaran di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Bumiputra Dalam, Rengit, di sini hari ini, berjaya menyelamatkan dia dan suaminya.

Dalam kejadian jam 4.18 pagi itu, Norsahirah Fazilah Jaafar, 26, dan suami, Mohd Amirruddin Siron, 30, tidak dapat keluar dari bilik mereka kerana api sedang marak di ruang tamu dan depan pintu bilik.

Selepas gagal untuk menyelamatkan diri, Norsahirah kemudian menjerit meminta tolong abangnya yang tinggal di sebelah rumah sebelum mereka diselamatkan melalui tingkap yang dipecahkan.

Iklan
Iklan

Susulan itu, pasangan tersebut yang melecur dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini dengan menaiki kereta bapa saudara mereka untuk rawatan kecemasan.

Pemangku Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Penolong Pegawai Bomba Ayub Majib berkata, seramai 11 anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima aduan.

Iklan

"Setibanya di tempat kejadian didapati api sedang marak di bahagian ruang tamu rumah berkenaan. Terdapat tiga deret rumah PPR dan kediaman mangsa terletak di bahagian tengah manakala rumah abangnya di bahagian kiri.

"Kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke kiri serta kanan rumah PPR lain dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5:40 pagi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Ayub berkata, pasangan tersebut melecur 10 peratus dan ketika ini masih dirawat di HSNI dan difahamkan mereka tinggal di rumah berkenaan sejak lebih setahun lalu.

"Pasangan berkenaan mendakwa kebakaran tersebut kemungkinan berpunca daripada bateri motosikal skuter yang dicas di bahagian ruang tamu pada malam tadi sebelum mereka masuk tidur.

"Bagaimanapun punca sebenar dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.