KUALA LUMPUR - Bantuan Tabung Covid-19 hanya diberikan kepada pihak yang betul-betul layak mengikut peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Nadma dalam laman rasmi Facebooknya memaklumkan mereka yang layak adalah yang dikenakan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Bagi Kontak Covid-19 Di Bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau menjalani rawatan di wad hospital yang dibenarkan oleh KKM untuk merawat Covid-19 (warded).
"Bantuan RM100 sehari itu bukan kepada mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan dari 18 Mac hingga 14 April seperti yang diuar-uarkan beberapa laman web yang tidak bertanggungjawab,” maklum kenyataan itu.
Justeru, mereka yang tiada pekerjaan sebelum dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian, mempunyai pendapatan atau menerima gaji dalam tempoh Pengawasan dan Pemerhatian dan hilang mata pencarian sejak kerajaan menguatkuasakan PKP, tidak layak memohon.
Menurut kenyataan itu lagi, bayaran bantuan juga akan diberikan sekali sahaja (one-off) dalam tempoh penularan jangkitan Covid-19 dan tidak akan diberikan bagi kes yang berulang.
"Nadma juga berhak untuk memutuskan jumlah bantuan berdasarkan dokumentasi yang dikemukakan atau menolak permohonan yang tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.
Bagi permohonan bantuan khas itu, mereka boleh memohon dengan memuat turun dokumen di laman web www.nadma.gov.my.
Pemohon perlu menyertakan salinan borang Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Bagi Kontak Covid-19 yang telah disahkan oleh KKM serta salinan borang pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah kediaman bagi kontak jangkitan Covid-19.
"Bagi pemohon yang menjalani rawatan di wad hospital yang dibenarkan oleh KKM untuk merawat Covid-19 (warded) mereka boleh menyertakan Sijil Cuti Sakit yang dikeluarkan oleh hospital yang dibenarkan oleh KKM untuk merawat Covid-19.
"Semua borang perlu hantar secara pos ke ibu pejabat Nadma di Putrajaya memandangkan proses verifikasi dokumen-dokumen perlu dilakukan dengan terperinci, borang permohonan perlu di hantar secara manual.
Bayaran bantuan khas itu akan dibuat secara Pindahan Dana Elektronik (EFT) kepada pemohon yang layak dalam tempoh 30 hari bekerja dari tarikh penerimaan dokumen permohonan yang lengkap. - Bernama