KUALA LUMPUR - Bahan buangan atau terpakai bukan saja mampu menjadi hiasan rumah yang unik dan bersifat eksklusif, tetapi boleh menjana pendapatan, jika dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Terdapat beberapa barang yang boleh dikitar semula menjadi produk berbeza dari segi rupa dan fungsinya.
Kreativiti Azizah Muni, 60, dari Desa Pandan, Kuala Lumpur begitu terserlah apabila menggunakan bahan terbuang dan terpakai untuk menghasilkan produk yang kemudian dijual kepada mereka yang berminat.
Dia menggunakan beberapa bahan terbuang antaranya perca kain, seluar jean, bunting iklan dan plastik makanan kucing, makanan segera dan beras untuk dijadikan pelbagai produk seperti hiasan kediaman, beg tangan, bakul, tudung saji, penutup balang kuih raya, apron serta sarung bekas tisu.
Azizah berkata, aktiviti itu dijalankan di rumahnya.
"Saya cuba memanfaatkan semua bahan terbuang terbabit untuk dibuat pelbagai produk, selain dapat mengisi masa terluang.
"Walaupun aktiviti itu dilakukan di rumah, tetapi sambutan amat baik,” katanya.
Menurutnya, pada mulanya dia melakukan aktiviti itu sekadar hobi bagi memenuhi masa lapang.
"Saya merupakan salah satu usahawan Kraftangan Kuala Lumpur sejak 10 tahun lalu, sebelum ini saya merupakan tukang jahit,” katanya.
Azizah berkata, perancangannya pada masa hadapan adalah dia sudi berkongsi ilmu dan kemahirannya dengan orang lain.
"Saya berharap ada pelapis dalam industri kraftangan, sekarang saya fokus untuk mengajar dan mengadakan demonstrasi kraftangan kepada mereka yang berminat,” katanya.
Sementara itu, jirannya, Zurainah Mohamed, 56, berkata, dia minat menghasilkan produk kraftangan sejak berusia 11 tahun.
"Ketika itu saya belajar membuat alas kerusi daripada kakak, selain itu saya mengait untuk menghasilkan topi pula,” katanya.
Zurainah berkata, ilmu untuk menghasilkan pelbagai produk juga diperoleh melalui Youtube sejak 10 tahun lalu.
"Setakat ini hanya kenalan rapat saya sahaja yang membeli produk kait antaranya beg, harga beg yang paling murah adalah RM80, manakala stokin pula harganya dalam lingkungan RM35 hingga RM45 bergantung pada corak,” katanya.
Menurutnya, untuk menghasilkan produk seperti beg mengambil masa dalam tempoh seminggu.
"Kos produk kait ini tinggi kerana ia bergantung pada kualiti benang yang akan digunakan untuk menghasilkan produk tersebut,” katanya.