SHAH ALAM - Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) hari ini mengingatkan kerajaan supaya memastikan rantaian bekalan khususnya makanan tidak terganggu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April depan.
Melalui satu kenyataan bersama, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Parti Keadilan Rakyat), Datuk Seri Salahuddin Ayub (Parti Amanah Negara) dan Ong Kian Ming (DAP) berkata, pihaknya tidak mahu melihat ada antara rakyat di negara ini mengalami kebuluran dalam tempoh wabak ini menular.
Iklan
Iklan
"Rusuhan makanan adalah sesuatu yang tidak pernah dialami dalam negara kita.
"Namun, ini boleh berlaku jika kita tidak mengekalkan rantaian bekalan terbuka dan jika kita tidak mempunyai idea yang jelas tentang mengekalkan pengeluaran hasil pertanian.
"Majlis Setiausaha PH menyeru kerajaan untuk mengambil langkah segera bagi menyelesaikan gangguan rantaian bekalan berkaitan," katanya.
Menurut kenyataan itu, Kabinet dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu menyelaraskan semua agensi lain untuk memastikan pasukan keselamatan, agensi-agensi ekonomi dan pegawai kesihatan saling bekerjasama antara satu sama lain.
"Kemenangan kita ke atas Covid-19 bukan sahaja melibatkan pembendungan wabak ini, malah memerlukan pembekalan barangan yang secukupnya buat semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agar mereka dapat terus bertahan melalui tempoh PKP yang dilanjutkan ini," katanya.