SHAH ALAM - Walaupun negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew dilihat memanfaatkan waktu ini untuk keluar membantu petugas kesihatan di sekitar Lembah Klang.
Usaha dilakukan beliau jelas memberi manfaat serta meringankan sedikit beban petugas barisan hadapan yang berdepan masalah kekurangan peralatan perubatan dalam menjalankan tugas mereka terutamanya dalam menangani kes wabak koronavirus (Covid-19).
Menerusi Facebook, Ebit berkongsi beberapa video yang memperlihatkan bagaimana beliau menyantuni petugas kesihatan di klinik-klinik kesihatan dan hospital dengan bertanyakan sendiri apa yang diperlukan mereka serta apa yang beliau dapat bantu.
Ebit kemudian dilihat memberi sumbangan antaranya seperti pendingin hawa mudah alih, topeng muka, baju plastik serta beberapa kelengkapan lain.
Menurutnya, beliau juga menyewa bilik mandi mudah alih bagi kegunaan petugas kesihatan di Hospital Putrajaya untuk mandi sebelum pulang ke rumah.
Bagaimanapun, Ebit menerusi hantaran di Facebook memberitahu, bekalan face shield yang berfungsi melindungi wajah petugas kesihatan ketika berdepan pesakit yang datang ke hospital/klinik terutamanya yang positif Covid-19 tidak mencukupi.
"Doakan ada bahan untuk buat sendiri atau tempah di mana-mana.
"Face shield penting untuk frontliner seperti mereka. Ya ALLAH mudahkanlah dan jagakan mereka serta kami semua," tulisnya.
Menerusi hantaran sama, Ebit turut berkongsi rasa sedih kerana semangat petugas kesihatan ketika ini dilihat hampir luntur dek kerana terlalu letih serta tidak cukup rehat.
"Mereka beritahu penat sangat, takut nak makan, balik rumah pun risau.
"Mereka minta beri nasihat, kata semangat dan doa untuk meneruskan tugas," katanya.