PENGUMUMAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin yang memanjangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April adalah sesuatu yang sudah dijangka kerana jumlah kes baharu wabak Covid-19 di negara kita masih belum turun.
Kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan pelanggan perbankan, termasuk individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangguhkan pembayaran balik pinjaman sedia ada mereka, termasuk gadai janji dan sewa beli untuk tempoh enam bulan juga merupakan petunjuk bahawa PKP ini tidak akan hanya berlangsung selama 14 hari.
Ramai yang bersetuju dengan langkah itu kerana ia tepat memandangkan wabak Covid-19 merupakan pembunuh senyap dan kita tidak mahu menjadi seperti Itali yang telah kehilangan 7,503 penduduknya dengan lebih 74,000 orang dijangkiti.
Bagaimanapun, Merak Jalanan ingin memberi nasihat kepada semua rakyat Malaysia agar sentiasa mengikut arahan kerajaan dalam menghadapi tempoh sukar ini.
Mungkin ayah dan datuk kita pernah bertempur dengan komunis atau tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua, tetapi kita pula sekarang sedang berperang dengan musuh yang tidak nampak dengan cara duduk di rumah.
Seperti saranan barisan pertahanan hadapan kita terutamanya kakitangan kesihatan, ‘kamu duduk di rumah, biar kami bekerja di luar’, ia menunjukkan setiap daripada kita bertanggungjawab menghalang musuh dalam bentuk virus ini daripada terus merebak.
Jika kita masih gagal membendung Covid-19, Merak Jalanan yakin tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan disambung sehingga ia benar-benar dapat dikawal.
Dalam tempoh ini juga, Merak Jalanan nasihatkan orang kita jangan panik.
Belilah barangan keperluan dengan seadanya dan berjimat-cermatlah kerana kita semua tahu ekonomi negara dan dunia amat terkesan dengan Covid-19.