SHAH ALAM - Pengakuan bersalah suspek pengganas, Brenton Tarrant yang menyerang dua masjid di New Zealand pada 15 Mac tahun lalu sehingga mengorbankan 51 umat Islam yang menghadiri solat Jumaat merupakan khabar gembira buat mangsa-mangsa terlibat khususnya yang terselamat dalam insiden itu.
Seorang daripada tiga rakyat Malaysia yang tercedera dalam insiden itu, Nazril Hisham Omar, 47, berkata, perkhabaran itu umpama satu kejayaan buat dirinya dan mangsa lain kerana bukan saja mendapat pembelaan tetapi mereka juga tidak perlu melalui perbicaraan yang panjang.
"Jika tidak, kami perlu lalui kesemua proses perbicaraan dan terpaksa mengingati semula detik-detik atau memori hitam kejadian itu.
"Selain itu, pengakuan bersalah oleh suspek juga akan menjimatkan banyak masa, tenaga dan wang,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Terdahulu, Tarrant yang merupakan warga Australia dilaporkan mengaku bersalah semalam atas 92 pertuduhan ke atas dirinya.
Menurut AFP, Hakim Cameron Mander kemudian merekodkan sabitan atas semua pertuduhan dan memaklumkan bahawa Tarrant akan dijatuhkan hukuman pada satu tarikh yang belum ditentukan.
ARTIKEL BERKAITAN: Penyerang Christchurch mengaku salah
Nazril Hisham yang kini masih tinggal dan bekerja di New Zealand bagaimanapun berkata, beliau berharap hukuman yang akan dijatuhkan kepada suspek tersebut adalah berdasarkan jumlah pendakwaan sebanyak 92 kes dan bukan hukuman serentak.
"Tambahan pula di New Zealand tiada hukuman mati, jadi saya berharap sangat hukuman yang akan dijatuhkan setimpal dengan kesalahan dibuat.
"Hukuman ke atas suspek dijangka dibuat pada bulan Mei nanti tetapi bergantung kepada keadaan terkini di New Zealand yang kini menjalani perintah berkurung selama empat minggu susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19),” katanya yang turut memberitahu mengetahui berita berkenaan menerusi laporan akhbar online serta Facebook sebelum membuat pengesahan dengan pegawai mahkamah di sana.
Ketika ditanya tentang perkembangan terkini dirinya, bapa kepada empat anak itu berkata, setakat ini beliau sudah semakin pulih dan hampir kembali kepada suasana biasa.
"Saya sudah mula bekerja selama enam jam sehari untuk lima hari seminggu.
"Rawatan juga sudah habis kecuali sekali-sekala perlu berjumpa doktor untuk mengambil ubat. Alhamdulillah, semua nampak bersinar kembali,” katanya.
Sementara itu, isteri Nazril Hisham, Profesor Madya Dr Zurinawati Mohi, 49, ketika dihubungi Sinar Harian juga sangat gembira dan bersyukur dengan berita tersebut kerana bukan saja suaminya, malah mangsa-mangsa lain tidak lagi terbeban dengan ingatan terhadap peristiwa ngeri yang menimpa mereka.
"Mereka tak perlu terus bercerita tentang apa yang terjadi, mengingati semula peristiwa itu tambah lagi dalam keadaan emosi serta diri mereka yang sudah hampir pulih ketika ini.
"Cuma saya harapkan hukuman ke atas suspek itu biarlah adil dan bukan hanya satu hukuman untuk kesemua kesalahan dilakukan, sebaliknya setiap kesalahan itu mempunyai hukuman tersendiri,” kata beliau.
Selain itu, Zurinawati yang merupakan pensyarah di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam berkata, walaupun tinggal berjauhan dengan suami, beliau dan anak sulungnya, Muhammad Haiqal Daniel, 21, sering memantau perkembangan terkini Nazril Hisham.
"Walaupun berada di Malaysia, saya ikuti perkembangan dia dan tiga lagi anak yang berada di sana dan alhamdulillah keadaan suami semakin positif,” katanya.