KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menyumbangkan motosikal baharu kepada seorang penghantar makanan yang terlibat kemalangan di persimpangan Jalan Raja Chulan, petang Rabu lalu.
Insiden tersebut turut melibatkan sebuah Bas GoKL yang berlaku kira-kira jam 2 petang, Rabu lalu sehingga tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi netizen.
Melalui satu kenyataan dikeluarkan, Prasarana memaklumkan pihaknya berhasrat untuk menderma sebuah motosikal baharu bagi membantu mangsa kemalangan tersebut.
"Prasarana kesal dengan insiden itu dan telah berhubung dengan pihak mangsa untuk urusan selanjutnya.
"Kapten bas yang terlibat dengan insiden terbabit juga sudah dikenal pasti dan tindakan telah diambil ke atasnya sementara menanti keputusan siasatan polis," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, tular satu rakaman video kemalangan melibatkan sebuah bas, penunggang motosikal dan sebuah kenderaan lain.
Menerusi rakaman berdurasi 29 saat itu, pemandu bas dirakam membelok ke kanan selepas dipercayai melanggar lampu isyarat merah.
Video turut menunjukkan penghantar makanan dari arah bertentangan tidak dapat mengawal motosikalnya sebelum merempuh kenderaan lain dipercayai sebuah kereta.
Sementara itu, Prasarana memaklumkan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam siasatan dijalankan.
Satu laporan polis juga telah dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Dalam pada itu Prasarana berkata, semua kapten Bas Rapid Bus menjalani program latihan komprehensif dan program latihan semula bagi memastikan mereka memberikan tahap perkhidmatan yang baik, selamat serta mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas.