Neville menyesal tak dengar nasihat Ferguson

Iklan
Gary Neville

GARY Neville mengakui menyesal selepas tidak mendengar nasihat bekas pengendali Manchester United, Sir Alex Ferguson ketika membimbing kelab dari Sepanyol, Valencia pada 2016.

Menurutnya, ia menjadi antara faktor menyumbang kegagalannya mengemudi Valencia sekali gus menyebabkan dia hanya mampu bertahan selama empat bulan bersama pasukan itu.

Iklan
Iklan

"Semasa saya mula mengambil alih jawatan tersebut, jelas ada beberapa pemain yang tidak gembira. Saya membuat kesilapan dengan keputusan mengekalkan mereka yang tidak komited bersama kelab.

"Saya masih ingat saya bercakap dengan Ferguson dan beliau menasihati saya supaya menyingkirkan pemain itu dan mengekalkan pemain yang sehaluan dengan saya," katanya.

Iklan

Neville mengambil alih jawatan itu pada Disember 2015 dan hanya mampu mencatatkan 10 kemenangan daripada 28 perlawanan sebelum dipecat pada Mac 2016.

Kata Neville, dia cuba berunding dengan pemain tersebut dan meyakinkannya untuk terus bermain sehingga penghujung musim.

Iklan

"Itu kesilapan saya. Mereka tidak gembira di kelab dan saya tidak mendengar nasihat Ferguson sehingga saya dipecat.

"Ketika itu saya masih mahu meneruskan melatih Valencia, tetapi keputusan hanya 10 kemenangan bukanlah sesuatu yang bagus," katanya.

Selepas kegagalannya di Valencia, dia kembali bertugas sebagai pemerhati bola sepak di Sky Sports dan tidak pernah lagi berhasrat menjadi pengurus pasukan.