SEREMBAN - Gejala merokok dalam kalangan pelajar sekolah yang dilihat semakin berleluasa dewasa ini dipercayai bermula daripada ahli keluarga sendiri.
Penjawat awam, Mohd Azman Idris, 50, berkata, dia percaya keluarga memberi pengaruh kepada kelakuan anak-anak terutamanya ayah yang merokok.Katanya, perkara berkenaan secara tak langsung akan menjadi ikutan kepada anak dan pelajar yang ingin mencuba untuk merokok.
"Saya mempunyai tiga orang anak lelaki berumur 22, 18 dan 9 tahun. Mencabar sebenarnya untuk memastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan gejala merokok.
"Maka saya sendiri perlu menunjukkan contoh yang baik kepada mereka kerana merokok ini sedikit sebanyak berpunca daripada pengaruh ahli keluarga yang merokok,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang lagi penjawat awam, Roslina Janian, 39, berkata, menangani gejala merokok dalam kalangan pelajar sekolah adalah antara cabaran buat ibu bapa.
Menurutnya, lebih membimbangkan apabila ada rokok yang dijual pada serendak RM3 sekotak.
"Remaja kalau dilarang, lagi berkobar-kobar mereka ingin mencuba,”katanya. Terdahulu, Sinar Harian melaporkan gejala merokok dalam kalangan pelajar sekolah semakin berleluasa apabila golongan ini dilihat berani menghisap rokok secara terang-terangan di tempat awam.
Perbuatan tersebut seolah-olah tidak dipeduli oleh masyarakat amnya walaupun ketika ini kerajaan dan masyarakat sibuk memperketatkan larangan merokok di tempat awam dan restoran.