RANTAU PANJANG -"Covid-19 tak dok (tiada) di kampung."
Itu antara alasan diberikan penduduk di beberapa buah kampung sekitar Rantau Panjang yang masih degil dan ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dillaksanakan kerajaan dalam usaha membendung koronavirus (Covid-19) sejak 18 Mac lalu.
Perkara itu diakui sendiri Ketua Platun Rela Crisis Respon Team (CRT) Rantau Panjang, Nik Ruzdwan Nik Lodin yang turut kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang masih berdegil terhadap arahan tersebut.
"Sebagai langkah awal, kita memberikan amaran kepada mereka yang ingkar. Jika masih berdegil dan tidak menghormati PKP, kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka mengikut peraturan sedia ada.
"Sepanjang rondaan dilakukan di penempatan berkenaan masih ada yang keluar rumah dan melakukan aktiviti seperti biasa seperti bermain bola sepak, melepak beramai-ramai seolah-olah tidak apa berlaku," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, CRT akan terus melakukan rondaan di semua kampung di sekitar Rantau Panjang bagi memastikan PKP dipatuhi sebaik mungkin.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati masih ada penduduk yang melepak secara terbuka di kedai-kedai kopi meskipun lebih seminggu PKP dilaksanakan.
Tidak cukup dengan itu, ada yang masih keluar beriadah dan berkumpul secara beramai-ramai seolah-olah memandang ringan arahan pihak kerajaan.
Tindakan segelintir penduduk yang tidak bertanggungjawab itu dikhuatiri akan menggagalkan usaha kerajaan memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.
Ia sekali gus menggagalkan hasrat kerajaan untuk memutuskan rantaian virus berkenaan dalam kalangan masyarakat.