Dua lelaki dipenjara 14 hari halang tugas polis

Iklan
Chee Keng (kiri) dan Muhamad Saiful Izhar (kanan) tiba di Mahkamah Majistret Sungai Siput atas pertuduhan menghalang tugas polis hari ini.

SUNGAI SIPUT - Dua lelaki dipenjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang tugas polis dalam dua kejadian berasingan semalam.

Tertuduh, Muhamad Saiful Izhar Roslan, 25, dan Chan Chee Keng, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut mengenakan denda masing-masing RM5,000 bagi kesalahan itu dan memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhamad Saiful Izhar didakwa dengan sengaja menghalang tugas anggota polis, Lans Koperal Meor Ridhuan Meor Idris dengan enggan memberhentikan motosikal di tepi jalan dalam satu sekatan jalan raya.

Iklan

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Jalan Jaya Setia, Sungai Siput kira-kira jam 5.15 petang semalam.

Manakala Chee Keng pula didakwa enggan memberikan dokumen pengenalan diri selepas diminta oleh Sarjan Mejar Cheah Kah Thye di hadapan Dewan Persatuan Penduduk-Penduduk Sungai Buloh, Sungai Siput kira-kira jam 9.15 malam semalam.

Iklan

Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.