MERSING - Kerajaan Johor menyokong usaha melahirkan bakat kreatif terutama dalam kalangan usahawan dan golongan muda di negeri ini termasuk di institut pengajian tinggi.
Exco Kerajaan Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, beliau menyokong usaha Politeknik Mersing yang turut membina jaringan bersama usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) dalam menaiktaraf industri kreatif ke fasa lebih kompetitif.
Menurutnya, kreativiti dan keusahawanan adalah berkait rapat dalam era sekarang kerana untuk memperolehi kejayaan serta mencipta keuntungan usahawan perlu memiliki kemahiran dan kreativiti.
"Contohnya apabila usahawan membina aplikasi untuk perniagaan ia mampu meletakkan perniagaan itu ke satu tahap lebih tinggi dan merupakan nilai tambah buat usahawan tersebut.
"Ekonomi di masa hadapan adalah ekonomi yang penuh dengan kreativiti. Oleh itu usahawan perlu bersaing dengan cara luar biasa untuk menjadi lebih berjaya di masa hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kerjasama Strategik 'Misi Mentigi 2.0' Politeknik Mersing bersama IKS Mersing.
Hadir sama, Pegawai Daerah Mersing, Asman Shah Abd Rahman, Adun Endau, Alwiyah Talib; Pengerusi Persatuan Industri (IKS), Rohaya Salleh; Yang Dipertua Majlis Belia Daerah, Khairi Mohd Isa serta pemilik Mentigi Bay Chalet Mersing, Hamka Sahar.
Terdahulu, projek Mentigi 1.0 dan 2.0 ini melibatkan 20 pelajar dan 14 pensyarah melalui salah satu siri projek dengan menghasilkan program lukisan mural di sekitar Mentigi Bay Chalet Mersing.
Projek ini merupakan usaha Jabatan Perdagangan di bawah ketua jabatannya iaitu Norlela Sarani dan pengarah projek Azlina Hamdan yang juga merupakan pensyarah di Politeknik Mersing.
Pengarah Politeknik Mersing, Hassan Siraj berkata, ekonomi kreatif merupakan ekonomi baharu di era Revolusi 4.0.
Oleh demikian katanya, Politeknik Mersing bertindak bergerak pantas melahirkan graduan berkemahiran yang mampu memberikan produk berteknologi dan sistem automasi pintar yang mana kini dipanggil IOT untuk keperluan industri kreatif sekarang.
"IOT atau dikenali sebagai Internet Kebendaan adalah satu bentuk hubungan diantara teknologi produk dan internet untuk dihubungkan dalam fungsi perisian yang menumpu kepada penggunaan alat harian yang mampu untuk berfungsi secara automatik dan bertukar maklumat melalui rangkaian.
"IOT juga sebagai pemudah cara. Contohnya mikroprosesor merupakan salah satu produk akhir teknologi yang berjaya sejak berpuluh tahun yang lalu. Begitu juga teknologi yang sering diperkatakan seperti Internet di mana kecanggihannya cuba dibuktikan dalam beberapa perniagaan yang berteknologi seperti B2C (perniagaan-ke-pelanggan), dan gerbang (portal) Web," katanya.