Van sekolah haram berleluasa

Iklan
Kamariah (dua kiri) mendengar keluhan ahli persatuannya yang terjejas ejoran kegiatan van haram.

KEMAMAN - Kegiatan van sekolah haram yang semakin berleluasa di daerah ini ibarat menabur pasir ke dalam periuk nasi pengusaha van dan bas sekolah berpermit apabila jumlah pelajar yang menaiki pengangkutan mereka sekarang kian berkurangan.

Harga tambang murah yang ditawarkan van haram dikatakan menjadi tarikan kepada ibu bapa untuk beralih kepada van haram berkenaan tanpa menyedari tindakan itu mengundang risiko tinggi kerana jika berlaku kemalangan, anak-anak mereka tidak dilindungi insurans.

Iklan
Iklan

Pengerusi Persatuan Pemandu dan Pengusaha Van dan Bas Sekolah Daerah Kemaman, Kamariah Abdullah berkata, sekiranya berlaku kemalangan, pelajar tidak dapat membuat apa-apa tuntutan kerana status van itu yang tidak memiliki permit.

"Kasihan kepada pelajar jika berlaku apa-apa, memang kita tak minta perkara buruk berlaku tetapi kena ada perlindungan semasa naiki kenderaan.

Iklan

"Sekarang pengusaha van haram ini juga sangat keterlaluan kerana berani promosikan perkhidmatan mereka dalam media sosial termasuk Facebook," katanya.

Keadaan itu menjejaskan pendapatan kira-kira 30 ahli yang bernaung di bawah persatuan itu termasuk Kamariah sendiri.

Iklan

Penumpang makin kurang

Kamariah berkata, masalah van sekolah haram itu semakin serius sejak sesi persekolahan baharu dibuka awal bulan ini dan dia sendiri mengalami pengurangan penumpang yang ketara.

"Van haram ini tawarkan tambang yang lebih murah iaitu antara RM15 hingga RM20 lebih rendah berbanding tambang van atau bas sekolah berpermit.

"Misalnya kalau van dan bas sekolah berpermit ambil tambang RM80 sebulan, van haram ini cuma ambil sekitar RM65 sahaja," katanya yang bergelar pemandu bas sekolah sejak 18 tahun lalu.

Jelasnya, persaingan itu tidak adil kerana selain faktor keselamatan pelajar, pengusaha van dan bas sekolah berpermit juga perlu menanggung kos untuk memastikan kenderaan mereka sentiasa berada dalam keadaan baik ketika melakukan pemeriksaan di Pusat Pemerimsaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) enam bulan sekali.

Ekoran masalah itu, Kamariah yang mengambil pelajar di Kijal berkata, pendapatannya berkurang sebanyak RM1,000 apabila ramai ibu bapa menghubunginya dan memberitahu tidak mahu lagi menggunakan khidmat van dan bas sekolahnya.

Kamariah yang memiliki dua buah kenderaan berpermit untuk mengangkut pelajar sekolah iaitu van dan bas mengalami kekurangan penumpang mendadak sekarang.

Kegiatan van sekolah haram itu dikesan berlaku di beberapa buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal, SMK Chukai, SMK Geliga, SMK Binjai, SMK Rantau Petronas dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok.

Susulan itu, Kamariah berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas menangani masalah itu lebih-lebih lagi baru-baru ini Menteri Penangkutan, Anthony Loke Siew Fook sudah memberi amaran untuk membendung habis-habisan kegiatan van sekolah haram di negara ini.

"Saya juga syorkan pengusaha van haram ini ambil permit kalau mahu cari rezeki dengan cara ini, biarlah bersaing secara sihat dan keselamatan pelajar jadi keutamaan," katanya.

Van, bas berpermit dilindungi tiga insurans

Bendahari persatuan itu, Norfarizah Ariffin pula berkata, selain menggunakan van, ada antara individu menggunakan kereta untuk mengangkut pelajar pergi dan pulang dari sekolah.

"Keseluruhannya dianggarkan antara 10 hingga 15 buah van dan kereta yang angkut pelajar sekolah tanpa permit ini. Yang pakai kereta Perodua Kancil pun ada.

"Tambang yang pengusaha bas dan van sekolah berpermit kalau ikutkan sudah rendah kerana kami wajib dapat kelulusan Puspakom enam bulan sekali dan keluarkan banyaj kos untuk penyelenggaraan," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Semenanjung Malaysia, Ahmad Fauzi Murad berkata, pelajar yang menggunakan van dan bas sekolah berpermit dilindungi tiga jenis insurans.

"Insurans pertama dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), kedua insurans kenderaan itu sendiri dan ketiga insurans daripada pihak sekolah.

"Kalau guna van haram mereka tidak dilindungi dan saya berharap ibu bapa tahu mengenai perkara ini. Jangan guna van haram walau murah kerana ia bahayakan nyawa anak mereka," katanya.

Katanya, beliau bersimpati dengan nasib yang menimpa pengusaha dan pemandu bas berpermit dan telah membuat laporan menerusi e-mel kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengusaha van haram berdepan tindakan tegas

Sementara itu, Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin meminta pihak persatuan itu membuat aduan rasmi kepada JPJ Terengganu untuk memudahkan pihak mereka mengambil tindakan lanjut berhubung perkara itu.

"JPJ Terengganu sentiasa membuat pemantauan terhadap kegiatan van sekolah haram ini dan kita juga akan mengambil tindakan terhadap individu-individu yang terlibat dengan kegiatan ini," katanya.

Tegas beliau, individu yang terlibat dengan aktiviti mengusahakan van haram itu jika didapati bersalah boleh didenda minimum RM1,000 dan maksimum RM10,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, sekiranya dituduh di bawah Akta Pengangkutan Darat 2010, pesalah berdepan dengan hukuman sama iaitu denda minimum RM1,000 dan maksimum RM10,000.