KAJANG - Tindakan seorang lelaki yang menunggang motosikal tanpa sebarang tujuan dan cuba meloloskan diri dalam sekatan jalan raya Op Covid-19 di Jalan Hulu Langat di sini membawa padah, apabila dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Syahrul Sazli Md Sain menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Fauzan Jais, 31, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan.
Lelaki itu yang bekerja sendiri didakwa tidak memberhentikan motosikalnya ketika diminta Koperal Haslanni Sabtu dalam satu sekatan jalan raya Op Covid-19, di Jalan Hulu Langat - Ampang kira-kira jam 10 pagi pada 24 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai 12 bulan atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, Ahmad Fauzan didakwa berada dalam kawasan jangkitan tanpa sebarang tujuan yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di tempat dan masa sama.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 7(1) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin meminta mahkamah meberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh atas faktor kepentingan awam yang melebihi kepentingan peribadi, ketika negara sedang menghadapi masa krisis.
"Hukuman yang dijatuhkan diharap dapat memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan Malaysia sedang dalam usaha untuk membendung pandemik Covid-19 yang semakin serius,” katanya.
Syahrul Sazli kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan atas kesalahan melanggar sekatan jalan raya dan satu bulan kerana menunggang motosikal tanpa tujuan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam menjalani kedua-dua hukuman penjara secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 24 Mac lalu.
Sementara itu, mengikut fakta kes, tertuduh yang datang dari arah Bukit Ampang enggan memberhentikan motosikalnya selepas diarahkan polis ketika melalui satu sekatan jalan raya Op Covid-19.
Tertuduh yang memecut laju kemudian dikejar polis sebelum dia terbabas dan berjaya ditangkap.
Bagi kesalahan melanggar sekatan jalan raya, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan, manakala hukuman penjara sebulan bagi kesalahan menunggang motosikal tanpa tujuan. - Bernama