PH gesa Muhyiddin laksana 'gencatan' tindakan politik

Iklan

KUALA LUMPUR - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin segera melaksanakan moratorium atau 'gencatan' tindakan politik terhadap pemimpin pembangkang, sebaliknya perlu bekerjasama demi negara.

Majlis pakatan itu dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan penamatan pelantikan atau perkhidmatan anggota badan-badan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan, dan Yayasan Kebajikan Negara kurang sesuai, lebih-lebih lagi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan tempoh penguatkuasaan susulan ancaman wabak pandemik koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebarang tindakan bersifat politik pada waktu ini pasti disalah tafsir dan mengundang amarah rakyat, sekali gus menghilangkan fokus terhadap usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara.

"Pada waktu ini, seluruh tenaga rakyat perlu dirangkul dan digabungkan tanpa mengira kaum, agama mahupun fahaman politik untuk melandaikan keluk (flatten the curve) wabak ini serta menyelesaikan kemelut ekonomi semakin menjelma.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: 10 ahli Parlimen desak khidmat MPP tidak ditamatkan

MPP tak hantar laporan sejak dilantik: Annuar

Iklan

"Oleh itu, Majlis Presiden menggesa YAB Perdana Menteri agar segera melaksanakan moratorium tindakan politik. Kita perlu bekerjasama, demi negara," katanya.

Sementara itu, Majlis Presiden PH yang ditunjangi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut mencadangkan pakej rangsangan ekonomi diumumkan Muhyiddin hari ini memberi fokus kepada aspek kebajikan pekerja dan majikan.

"Disyorkan kerajaan membayar gaji minima sebanyak RM1,200 sebulan kepada semua pekerja perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan ke bawah, serta memujuk semua pemilik premis memberikan diskaun 50 peratus kadar sewa untuk tiga bulan dan moratorium selama enam bulan untuk pembayaran sewa.

"Kami juga berharap majikan dan syarikat-syarikat dapat dibantu agar mereka tidak memecat atau menamatkan perkhidmatan pekerja, dan para pekerja dapat diberi bayaran gaji mencukupi untuk menampung kehidupan keluarga masing-masing di sepanjang PKP berkuat kuasa," katanya.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH turut memohon ahli-ahli Parlimen pembangkang dilibatkan dengan lebih aktif dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.