Ramai-ramai nak pi mana ?

Iklan
Keadaan jalan sesak di laluan masuk Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang semalam.

BUKIT MERTAJAM - Mahu keluar bersiar-siar, ingin berjumpa dengan rakan dan perlu membeli stok keperluan harian. Itu antara alasan yang diberikan orang ramai ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di sekitar kawasan Seberang Perai di sini.

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah pun masuk hari ke sembilan hari ini, namun pematuhan orang ramai terhadap perintah itu masih belum memuaskan.

Iklan
Iklan

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata, gaji baru diterima antara sebab orang ramai keluar dari rumah tanpa menghiraukan perintah yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Menurutnya, ada juga di antara mereka memberi alasan mahu berurusan di bank dan ingin membeli barang di pulau sedangkan ia boleh dilakukan di kawasan Seberang Perai.

Iklan

"Semalam berlaku kesesakan di laluan masuk Jambatan Pulau Pinang dan kita dapati masih ramai orang awam yang kurang peka dengan arahan PKP.

Keadaan jalan lengang di laluan masuk Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang pagi tadi.

"Walaupun sekatan jalan raya telah dibuat, namun banyak kenderaan persendirian yang dilihat cuba masuk ke dalam kawasan pulau tanpa sebarang urusan penting malah terdapat banyak kenderaan berat yang menggunakan laluan itu untuk membawa masuk bekalan dari tanah besar ke pulau," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan

Mohd Mustafa berkata, pemandu yang memberikan alasan tidak munasabah diarahkan untuk berpatah balik selain diingatkan untuk pulang ke rumah masing-masing.

Katanya, dalam pemantauan dan sekatan jalan raya yang dilakukan hari ini mendapati keadaan di laluan masuk Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang lengang berbeza dengan apa yang berlaku semalam.

"Seramai 35 pegawai dan anggota ditugaskan hari ini dalam sekatan jalan raya yang dilakukan termasuk anggota tentera bagi mengawal lalu lintas.

"Apa yang berlaku semalam adalah di luar jangkaan dan kita akan pastikan agar semua penduduk khususnya di kawasan Seberang Perai mematuhi PKP atau mereka bakal berdepan dengan tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara sekiranya ditahan selepas ini," katanya.