SEREMBAN - Pusat Perkhidmatan Darah, Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) masih memerlukan penderma darah berterusan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan bekalan darah mencukupi.
Pemangku Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Mohammad Faid Abd Rashid berkata, pada masa ini bekalan darah masih berada pada tahap optimum, namun bekalan ini bergantung sepenuhnya kepada penderma darah.
"Dalam tempoh PKP ini, Pusat Perkhidmatan Darah HTJS masih memerlukan penderma darah yang berterusan.
"Oleh yang demikian, Pusat Perkhidmatan Darah HTJS akan beroperasi pada Sabtu dan Ahad bermula jam 9 pagi hingga 3 petang selain dari waktu biasa Isnin hingga Jumaat (8 pagi hingga 4.30 petang)," katanya.
Menurutnya, orang ramai boleh hadir ke Pusat Perkhidmatan Darah, HTJS untuk menderma darah dengan mengikuti peraturan ditetapkan.
"Hanya penderma darah sahaja yang dibenarkan memasuki pusat ini.
"Bagaimanapun orang ramai yang mempunyai gejala, baru pulang dari luar negara dalam tempoh 14 hari dan mempunyai kontak kepada kes atau disyaki Covid-19 dinasihatkan supaya tidak hadir untuk menderma darah," katanya.
Dalam pada itu, Dr Mohammad Faid berkata, pihak pengurusan HTJS menafikan mesej tular yang memaklumkan hospital berkenaan hanya menerima dan merawat pesakit Covid-19 adalah tidak benar.
Menurutnya, HTJS sememangnya sedang merawat pesakit Covid-19, namun masih tetap menerima pesakit lain seperti biasa terutamanya bagi kes-kes kecemasan dan trauma.