Tiada sebab harga ikan mahal di Terengganu: Penentu

Iklan
Jualan ikan di Pasar Payang beroperasi seperti biasa.

KUALA TERENGGANU - Bekalan ikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Terengganu mencukupi sekali gus bukan alasan untuk peniaga menaikkan harga keperluan itu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu), Mat Yassim Mohamed berkata, di negeri ini juga tidak berlaku lambakan ikan akibat masalah rantaian pemasaran sebagaimana berlaku di sebelah utara tanah air.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, bekalan ikan di negeri ini mencukupi. Kita tidak berdepan dengan masalah rantaian atau pemasaran sumber makanan itu kepada orang ramai.

"Nelayan di negeri ini juga turun ke laut seperti biasa sepanjang tempoh PKP ini, bahkan sekarang merupakan musim yang sesuai untuk tangkapan hasil laut itu.

Iklan

"Jadi, harga makanan asas itu adalah berpatutan bergantung kepada saiz dan kualiti serta tidak terlalu mahal," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan bahawa terdapat kenaikan harga bagi barangan keperluan asas itu.

Iklan

Dalam pada itu, Mat Yassim berkata, harga semasa bagi sekilogram ikan selayang ialah RM6 hingga RM10, kembung bagi saiz besar (RM15 hingga RM16 sekilogram), selar (bawah RM16 sekilogram), cencaru dan aya (bawah RM10 sekilogram), kerapu dan jenahak (bawah RM30 sekilogram).

Selain itu katanya, harga bagi sotong juga menurun sehingga ada kalanya mencecah RM25 sekilogram.

"Buat masa ini, tiada berlaku kenaikan harga ikan malah sekiranya nelayan terus dapat ke laut, tiada isu berkenaan masalah bekalan ikan di negeri ini.

"Masalah rantaian pemasaran ikan juga tidak berlaku kerana setakat ini semuanya berjalan lancar," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial tindakan nelayan membuang hasil tangkapan ikan ke laut akibat sekatan waktu operasi pasar awam akibat penutupan pasar dan kurang sambutan orang ramai di Perak pada 21 Mac lalu.