BESTARI JAYA - Tidak mahu jambatan yang menghubungkan kariah Masjid Kampung Bestari Jaya dipolitikkan, penduduk mengambil inisiatif sendiri mengecat semula jambatan terbabit.
Wakil penduduk, Mohd Azraie Mat Tahir, 36, berkata, pihaknya juga kesal apabila jambatan awam yang berusia lebih 10 tahun itu dicat menggunakan warna berunsur parti.
"Penduduk mula menyedari jambatan dicat baru sejak seminggu lalu dan difahamkan ia dilaksanakan kontraktor yang dilantik tapi penduduk kurang senang sebab warna jambatan seolah-olah berunsurkan warna parti politik sehingga menimbulkan tanda tanya.
"Jadi, penduduk mengambil inisiatif sendiri mengecat semula jambatan terbabit dengan warna putih bagi mengelakkan timbul isu berkaitan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, tular dalam media sosial berhubung warna cat yang digunakan untuk mencantikkan jambatan yang menghubungkan penduduk kampung dengan masjid terbabit.
Status bergambar dimuat naik seorang pengguna Facebook, ‘apabila jambatan dipolitikkan, kami ambil langkah untuk perpaduan kampung’ menarik perhatian netizen.
Antara komen yang turut dikongsi Panwi Abdullah turut mengingatkan kerajaan supaya lebih peka dengan pelaksanaan projek untuk kebajikan rakyat.
"Tidak kira apa pun projeknya, bila sudah jadi kerajaan negeri/Putrajaya, biarlah kerja tu untuk rakyat Malaysia. Takyah syok sendiri nak boh ‘lambang parti’ (hanya buat rakyat menyampah),” katanya.