'Lepas seorang, seorang kecundang'

Iklan
Rakaman perbualan Aznil bersama Kamariah dan suami, antara petugas barisan hadapan yang disahkan positif Covid-19.

IPOH - 'Wabak itu menyerang bahagian wad kecemasan kami, seorang demi seorang,' luah Kamariah, seorang daripada kakitangan barisan hadapan di Hospital Teluk Intan yang kini dikuarantin selepas positif koronavirus (Covid-19).

Menerusi perbualan rakaman panggilan video yang dikongsi pengacara terkenal tanah air, Datuk Aznil Nawawi, Kamariah berkata, keadaan itu digambarkan sebagai paling teruk seolah-oloh operasi di bahagian kecemasan lumpuh.

Iklan
Iklan

"Apa yang boleh kami cakap, benda (wabak) itu menyerang bermula dari pakar kami, doktor sampailah pembantu jururawat dan semua staf nurse hinggakan rasa wad kecemasan kami down, habis.

"Hampir separuh (daripada kami) yang kecundang, mana yang disahkan negatif telah ambil keputusan kuarantin di rumah.

Iklan

"Inilah yang berlaku apabila ada cerita palsu dan tidak jujur dalam berkata-kata, apabila dirawat akhirnya kami tahu mereka telah dijangkiti," katanya dalam perkongsian di Instagram TV (IGTV) aznilnawawihm hari ini.

Dia yang bertugas di bahagian kecemasan hospital itu dan menguruskan pesakit Covid-19 kini menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Iklan

Lebih memilukan, Kamariah pada ketika ini mengandung anak pertama berusia hampir enam bulan selepas tiga tahun berkahwin.

Suaminya yang dikenali Azim dan bertugas di bahagian sama di hospital berkenaan turut disahkan positif Covid-19.

Dalam perkongsian itu, Kamariah menganggap apa yang berlaku sebagai satu ujian dan meminta semua rakyat mendoakan kesihatannya bersama suami dan bayi dalam kandungan.

"Bila kami dapat berita kami positif, kami rasa 'down' sangat, sebak. Kami barisan hadapan yang membantu orang tetapi kami tewas dahulu.

"Tapi mungkinlah tuhan nak uji kami. Alhamdulillah, setakat hari ini belum ada lagi simptom-simptom itu, kandungan juga telah diperiksa dan tiada ada apa-apa masalah," katanya.

Dia turut mengingatkan orang ramai agar tidak memandang mudah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

"Tolonglah ikut perintah duduk di rumah, jaga diri dan ikut arahan kerajaan, jangan degil," katanya.

Sementara itu, Aznil sempat menitipkan pesanan agar Kamariah menjaga kandungan dengan baik.

"Jangan stres dan ikut cakap doktor walaupun doktor itu kawan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Jabatan Kecemasan dan wad pemerhatian Hospital Teluk Intan ditutup sementara untuk proses pembersihan dan penyahkuman selepas 37 petugas kesihatan di hospital itu positif Covid-19.

Operasi di bahagian itu dibuka semula menerusi penyelarasan doktor serta jururawat dari hospital lain.