Lima beranak di Simpang Renggam 'terperangkap' 20 jam di kebun

Iklan
Anggota Angkatan Tentera Malaysia membantu Polis membuat sekatan jalan raya dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). GAMBAR HIASAN.

KLUANG - Lima beranak ‘terperangkap’ hampir 20 jam di kebun pisang di Kampung Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam kerana tidak menyedari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu yang bermula tengah malam tadi.

Nur’Ain Shafiqah Mas’odin, 26, berkata, semasa arahan PKPD dikeluarkan, mereka sekeluarga yang tinggal di Kampung Permatang Sepam, Benut, Pontian, tidak mengetahuinya kerana semua sudah berada di kebun pisang yang terletak di hujung kampung terbabit.

Iklan
Iklan

Menurut Nur’Ain Shafiqah, bapanya Mas’odin Supian dan adik Kamarul Afiq, telah ke kebun yang terletak lima kilometer dari tempat tinggal sejak pagi untuk memungut hasil sebelum dia bersama ibunya, Indawati Salbani tiba di situ kira-kira jam 5 petang untuk menghantar makanan.

"Disebabkan kami sekeluarga ini berpuasa semalam, kami termasuk seorang lagi adik, Nur’Ain Nabiha, 22, yang datang sendirian merancang untuk berbuka puasa bersama-sama di sebuah pondok di kebun pisang ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Iklan

Selepas berbuka puasa, Nur’Ain Shafiqah dan ibunya bercadang untuk pulang manakala bapa dan dua lagi adiknya akan menyusul selepas selesai memunggah hasil tanaman.

Bagaimanapun, dalam perjalanan, mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan itu dan diminta berpatah balik kerana PKPD telah dikuatkuasakan di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid.

Iklan

"Kami terpaksa berpatah balik dan memberitahu ayah. Ayah menghubungi ketua kampung untuk memaklumkannya. Kami sekeluarga diminta tunggu serta bermalam di pondok di kebun pisang, sebelum bantuan susulan diberikan.

"Alhamdulillah...setelah hampir 20 jam berada di pondok ini kira-kira jam 1 petang tadi, kami dibenarkan keluar dari pondok oleh anggota Rela yang bertugas dan ditempatkan sementara selama 14 hari di Balai Raya Kampung Ibrahim Majid disebabkan kami bukan penduduk asal kampung ini,” katanya.

Semalam, dua kawasan di Simpang Renggam itu dikenakan arahan PKPD selepas 61 penduduknya dikesan positif Covid-19.

PKPD berkenaan melibatkan seramai 3,570 orang penduduk tempatan daripada 650 keluarga.- Bernama