Pakej Prihatin: Kerajaan Perak ucap terima kasih kepada PM

Iklan
Ahmad Faizal

IPOH - Kerajaan Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pengumuman itu membuktikan kewibawaan kerajaan Pusat sebagai sebuah pentadbiran yang prihatin untuk membantu rakyat terkesan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

"Pakej rangsangan yang diumumkan amat menyeluruh di mana kita dapati tiada pihak tercicir.

"Paling menarik perhatian adalah tanggungjawab bersama, hasil kepimpinan YAB Perdana Menteri dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan sedia ada, membolehkan pelbagai pihak menggembleng tenaga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Menurutnya, gabungan kerjasama antara pihak bank dan swasta membolehkan pakej rangsangan yang baik dapat dihasilkan.

"Semua pihak patut bersyukur dengan pakej rangsangan ini. Insha-ALLAH, kita bina semula negara kita jadi amat kuat satu hari nanti. Terima kasih Perdana Menteri," katanya.

Iklan

Hari ini, Muhyiddin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion untuk membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Daripada jumlah yang diumumkan itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.