FedEx Penang Gateway, fasiliti logistik bersepadu terbesar di Pulau Pinang

Iklan
Kon Yeow (dua, kiri) dan barisan tetamu kehormat pada majlis tersebut.
SYARIKAT pengangkutan ekspres terbesar di dunia,FedEx Express (FedEx), melancarkan FedEx Penang Gateway, sebuah fasiliti logistik bersepadu yang terbesar di Pulau Pinang.

Naib Presiden Kanan (Operasi), FedEx Express (Utara & Selatan Pasifik), Kawal Preet berkata, FedEx Penang Gateway adalah fasiliti gudang dan pengisihan bersepadu bagi operasi FedEx dan juga TNT di rantau ini dan bertindak sebagai hab utama bagi negeri-negeri di utara Malaysia dan gerbang utama untuk penerbangan Asia dan Trans-Asia FedEx.

"Gudang berukuran 4,830 meter persegi ini juga merupakan fasiliti pertama seumpamanya di Malaysia yang menampilkan imbasan sinar- X bagi 100 peratus pakej keluar,” katanya pada majlis pelancaran Fasiliti Logistik Bersepadu FedEx Penang Gateway yang disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, baru-baru ini.

Preet berkata, fasiliti itu menggunakan sistem konveyor sabuk dan pengisihan termaju serta peralatan imbasan sinar-x yang berupaya mengendalikan lebih 2,700 pakej setiap jam.

"Fasiliti Penang Gateway merupakan satu pelaburan besar untuk menghubungkan wilayah utara Malaysia dengan seluruh dunia. Di FedEx, kami komited terhadap pembangunan infrastruktur logistik Pulau Pinang, dengan mengoptimumkan hubungan serantau dan global kami untuk menyokong perniagaan tempatan dan memperluaskan lebih banyak peluang untuk perusahaan besar, sederhana dan kecil dari segi aktiviti import dan eksport,” katanya.

Pengarah Urusan, FedEx Express Malaysia, SC Chong pula berkata, FedEx Penang Gateway mempunyai dua kapal terbang kargo Boeing 767 khas, yang mampu lakukan penerbangan penghantaran pada hari beroperasi berikutnya ke bandar-bandar utama di AS dan Asia Pasifik, serta 71 kenderaan operasi rangkaian darat meliputi lebih 60 laluan tempatan di Pulau Pinang dan negeri berdekatan seperti Kedah dan Perak.

"Fasiliti ini juga menyokong FedEx Asia Road Network, sebuah rangkaian unik dan luas merangkumi lebih 7,000km, menghubungkan semua pasaran utama di Asia Tenggara dan China, dari Singapura ke Guangzhou.