SELAYANG - Tujuh lelaki berusia antara 21 tahun hingga 42 tahun dihadapkan ke Mahkamah Selayang hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesemua tertuduh ditahan pada Isnin lalu di tiga lokasi berasingan dalam sekatan jalan raya Op Covid-19.
"Kes pertama melibatkan penahanan seorang lelaki berusia 21 tahun Kilometer 13.2 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
"Kes kedua melibatkan penahanan enam lelaki berusia 22 hingga 34 tahun di Kilometer 20.1 Lebuhraya Karak arah Kuala Lumpur. Tiga didakwa sementara tiga yang lain dijadikan saksi pendakwaan.
"Kes ketiga pula melibatkan tiga individu berusia 32 tahun hingga 42 tahun di Jalan Utama Taman Indah Perdana Desa Jaya Kepong," katanya.
Katanya, empat daripadanya disabit di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan penyakit Berjangkit 2020.
"Mereka dikenakan hukuman penjara tiga bulan kecuali pemandu kereta bagi kes kedua yang dipenjarakan lima bulan.
"Bagi kes ketiga, ketiga-tiga suspek dikenakan hukuman penjara dua bulan bagi kesalahan Seksyen 28 (1) Akta Kesalahan Kecil dan sebulan penjara di bawah peraturan 7, PPPPB 2020," katanya.