Hab pengeluaran eksport ke Asia

Iklan
Tun Mahathir cuba mengangkat produk silinder gas petroleum cecair (LPG) komposit, ACGAS seberat 14 kilogram selepas merasmikannya.

ACG akan bina kilang pembuatan silinder LPG pertama di Malaysia bernilai RM100 juta

ASTANA City Group Sdn Bhd (ACG) akan membina kilang membuat silinder komposit gas petroleum cecair (LPG) pertama di Malaysia yang akan menjadi hab pengeluaran untuk dieksport ke Asia.

Pengarah Urusannya, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman berkata, pembinaan kilang bernilai RM100 juta itu dijangka bermula Mei ini.

"Pembinaan kilang itu akan menjadi fasa pertama syarikat bagi tempoh lima tahun ini.

"Bagi fasa kedua pula, ACG akan membangunkan hab penyimpanan LPG berkapasiti 60,000 tan metrik sehingga 180,000 tan metrik di Melaka bagi memenuhi rancangan jangka panjang syarikat,” katanya pada majlis pelancaran produk silinder komposit LPG 14 kilogram yang disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Kuala Lumpur, semalam.

Nik Mohd Fareez berkata, produk baharu itu akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat untuk jenis silinder LPG yang ingin digunakan.

Produk tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara ACGAS dengan syarikat dari Korea Selatan, Hyundai BS&E Co. Ltd.

Katanya, ACG merupakan operator ketujuh yang akan terlibat dalam pemasaran LPG ke Malaysia dan syarikat tersebut telah diberikan subsidi pengendalian LPG oleh Kementerian Kewangan pada November 2018.

"Bagi mencapai akses pasaran tempatan dan global, majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM1.2 bilion untuk tempoh lima tahun telah diadakan,” katanya.

Teknologi Silinder Komposit LPG yang diperkenalkan itu menawarkan banyak faedah kepada pengguna.

"Penekanan aspek keselamatan pengguna adalah ciri yang paling diutamakan. Ia juga mempunyai ciri keselamatan yang membantu mengelakkan penyelewengan subsidi dan penyeludupan silinder LPG,” katanya sambil berkata, produk ini memiliki keistimewaan lain antaranya tiada risiko meletup.