UMK hasilkan 3D Shield Visor untuk petugas barisan hadapan

Iklan
Tse Guan mencuba teknologi yang dihasilkan UMK itu selepas berjaya mengeluarkan cecair pembasmi kuman minggu lalu.

BACHOK - Selepas cecair pembasmi kuman, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menghasilkan alat pelindung muka jenis 3D (3D Shield Visor) dan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada petugas barisan hadapan yang berdepan dengan pesakit koronavirus (Covid-19).

Projek PPE Covid-19 adalah kerjasama UMK melalui Fakulti Teknologi dan Warisan (FTKW), Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu (PPI), Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK).

Iklan
Iklan

Dekan FTKW, Dr Hanisa Hassan berkata, pelaksanaan projek PPE Covid-19 merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMK untuk membantu membekal peralatan perlindungan kepada petugas di barisan hadapan di Kementerian Kesihatan (KKM) seperti doktor perubatan, jururawat dan kakitangan, pekerja penjagaan kesihatan dan anggota keselamatan.

"Dijangkakan UMK dapat membekalkan sebanyak 300 set PPE dan 500 set 3D Shield Visor untuk sokongan perlindungan keselamatan dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Iklan

"Bahan-bahan keperluan ini telah didermakan sendiri oleh MAIK melalui dana yang disalurkan kepada PBSM,” katanya.

Mereka yang terlibat turut mencuba pakaian tersebut selepas ia disiapkan.

Terdahulu, beliau mengiringi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts Dr Arham Abdullah yang meninjau proses penghasilan 3D Shield Visor dan PPE di Bengkel FTKW, UMK Bachok di sini.

Iklan

Hanisa berkata, pihak FTKW sentiasa bersedia untuk menawarkan pengetahuan dan kepakaran termasuk kelengkapan teknologi contohnya mesin yang digunakan dalam program pengkhususan bidang tekstil.

Beliau juga memberitahu, walaupun terdapat kekangan untuk membuat persiapan PPE kerana kekurangan tenaga kerja, namun dengan 15 sukarelawan staf FTKW sedikit sebanyak dapat membantu menyiapkan projek tersebut dengan baik.

"Kami amat gembira dapat turut serta dalam projek PPE Covid-19 dan tidak menjangka ramai sukarelawan yang sudi turun untuk membantu walaupun masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Walaupun kami tidak dapat menyumbang dari segi perubatan, namun kami dapat sumbangkan kepakaran melalui jahitan dan penghasilan produk ini untuk membantu fronliners dengan menawarkan kepakaran dan pengetahuan yang kami ada,” katanya.

Kakitangan UMK bertungkus lumus membantu dalam misi CSR kali ini.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi Dan Pascasiswazah) FTKW, Ts Dr Tan Tse Guan berkata, Jabatan Rekabentuk dan Teknologi Kreatif mengambil inisiatif untuk menghasilkan 3D Shield Visor untuk kegunaan menangani penularan Covid-19.

Katanya, untuk fasa pertama, pihaknya menyasarkan untuk menyiapkan sebanyak 500 set dengan bantuan daripada pihak PPI dan peruntukan daripada MAIK.