SETIAP awal tahun kaki pancing pantai di Terengganu akan menanti kehadiran kumpulan ikan ebek (diamond trevally) menghampiri dan menyusuri kawasan benteng pemecah ombak terutama di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Purata musim ebek ini bertahan selama dua hingga tiga bulan tetapi bergantung pada keadaan cuaca yang mempengaruhi angin dan ombak laut.
Bagi pemancing yang menjadikan ebek sebagai buruan utama setiap tahun, mereka akan mengejar kumpulan ebek ini setiap kali mendapat info dari rakan-rakan pancing yang lain.
Jika kumpulan ebek ini tiba ia bagaikan pesta memancing di sini. Peluang ini tidak sesekali dilepaskan oleh saya bersama rakan-rakan dari grup Facebook Pelancong Pancing Terengganu untuk mencuba nasib memancingnya baru-baru ini sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Selesai solat Subuh segala peralatan pancing dipunggah ke dalam kereta sebelum menuju benteng pemecah ombak Pantai Tok Jembal Kuala Nerus.
Sebaik tiba jam 6.50 pagi sudah kelihatan kumpulan pemancing lain tiba lebih awal. Memandangkan air sedang balas surut saya tidak melengahkan masa memasang peralatan pancing dan melempar umpan.
Ketika jam 9 pagi kumpulan bot pukat bilis menghampiri lokasi saya memancing untuk memukat bilis. Ia memberi kegusaran kerana dengan suasana bising dari bunyi enjin bot ia mengganggu kumpulan ebek ini.
Alhamdulillah jam 10 pagi rezeki menyebelahi saya apabila joran disentap ganas bila ebek membawa lari umpan. Aksi tarik-menarik bermula antara saya dan ebek. Ketika ebek semakin hampir didaratkan saya perlu berhati-hati bagi mengelak tali perambut atau utama bergesel dengan batu pemecah ombak.
Pertarungan yang mengambil masa 15 minit, akhirnya memihak kepada saya dengan berjaya mendaratkan ebek seberat 3 kilogram (kg) untuk tahun 2020 ini.
Untuk pengetahuan, memancing ebek dari benteng pemecah ombak ini lebih kepada 'waiting game' atau menunggu serta berpindah-randah itu adalah kebiasaan.
Tetapi jika pilihan tempat anda tepat dan kumpulan ebek menyusuri kawasan anda memancing maka boleh dikatakan tidak menang tangan bila hampir kesemua set pancing anda akan ditarik ebek hampir serentak.
Pencarian ebek sepanjang hari juga memihak kepada beberapa rakan saya yang dengan turut sama berjaya menaikkan spesies ini.
INFO IKAN EBEK
- Kumpulan ikan ebek lazimnya akan berlegar di sekitar pesisiran benteng pemecah ombak dari bulan Januari hingga Mac di Terengganu.
- Ini disebabkan kehadiran kumpulan ikan bilis dan udang baring yang banyak.
- Purata saiz ebek yang pernah didaratkan dari setengah kilogram sehingga 7kg.
- Ebek (diamond trevally) atau nama saintifiknya alectis indicaq mempunyai taburan merata di seluruh Asia, India, Indonesia dan Australia.
- Tumbesaran mampu mencapai 165 cm atau 25kg.
PERALATAN DISYORKAN
- Joran pantai sepanjang 15 kaki sesuai digunakan memancing di kawasan benteng pemecah ombak.
- Kekili bersaiz 5,000 dengan padanan tali utama 20lb.
- Perambut kekuatan 30lb sepanjang satu depa setengah atau 8 kaki paling efektif.
- Mata kail bersaiz #1 dan #1/0 adalah maksimum.
- Batu ladung nombor 5 dan 6 (bergantung pada arus laut)
- Ranggom (spreader) jenis hidup digunakan bagi mengelak tali perambut dan utama berbelit dan memudahkan ebek melarikan umpan tanpa merasa beban batu ladung
- Umpan udang hidup umpan terbaik digunakan untuk memancing ebek.
- Ebek juga boleh diperolehi dengan teknik jigging.