WAH. Nama Makcik Kiah memang trending. Dalam Twitter nama Makcik Kiah diciap 46.2 ribu kali; nombor dua selepas nama TS Muhyiddin 54.9. yang diciap 54.9 ribu kali tatkala saya menulis ini.
Di Google, nama Makcik Kiah sudah disebut 25 ribu kali. Saya cuba cari juga nama Makcik Kiah di dalam Facebook, tetapi wajah-wajah profil yang muncul semuanya cun-cun. Ah, tak mungkin mereka ini Makcik Kiah yang disebut oleh TS Muhyiddin.
Walau apa pun, nama fiksi yang dijadikan contoh sebagai seorang penjual pisang goreng yang punyai seorang suami bekas askar yang juga memandu Grab dan anggota Rela serta seorang anak bujang yang punyai pinjaman PTPTN adalah contoh yang baik.
Makcik Kiah dan keluarga yang tinggal di PPR Desa Tun Razak boleh mendapat dan juga menjimat lebih RM8,000 melalui pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat. Dalam konteks ini, saya mengupas apa yang tersirat, yang hendak disampaikan oleh TS Muhyiddin.
Pertama, bagaimana sesebuah keluarga itu boleh mendapat bantuan melalui pelbagai peruntukan. Kedua, bagaimana moratorium pelbagai pihak boleh mengelak wang keluarga keluar dari poket. Ketiga, kita harus lihat semua pendapatan dan simpanan itu adalah untuk dana keluarga.
Perkara ketiga inilah yang harus menjadi perhatian, malah perbincangan seisi keluarga. Dalam keadaan yang sukar ini, seluruh keluarga harus menghimpunkan pendapatan dan simpanan dari moratorium untuk digunakan dengan cermat oleh seisi keluarga. Ini adalah kerana Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat ini adalah pakej bantuan untuk seisi keluarga.
Dalam keadaan begini, sesebuah keluarga memperoleh wang tanpa bekerja kerana PKP. Seolah-olah masa produktif selama ini dihentikan tetapi kita masih memperoleh sedikit bantuan untuk melangsungkan hidup. Jika digunakan dengan cermat untuk membeli apa yang patut sahaja dalam tempoh ini. Barangkali kita ada simpanan tambahan setelah kita melepasi tempoh ini.
Tempoh PKP 28 hari bukan sahaja mengawal pergerakan, malah sekaligus mengawal perbelanjaan dan juga tabiat-tabiat kita yang membazir belanja dan juga masa. Diharapkan apabila kita telah melalui PKP dan berpuasa Ramadan pula seminggu kemudian, kita benar-benar melalui suatu proses penyucian diri.
Tahniah kepada Perdana Menteri kerana dapat menyampaikan ucapan dalam bahasa yang mudah dengan intonasi yang mampu menenangkan rakyat. Tahniah kepada pasukan medianya yang membantu TS Muhyiddin menyampaikan ucapan dalam bahasa marhaen yang berjaya memasukkan habuk di mata rakyat!